Monolit logam muncul pula di Romania

Iklan
Obelisk logam (kiri) yang ditemui di kawasan gurun di Utah, AS pada minggu lalu. Gambar kanan: Monolit logam (kanan) misteri yang turut ditemui di puncak bukit Batca Doamnei di utara Romania. - Foto Agensi

BUCHAREST - Misteri monolit logam yang masih mencetuskan tanda tanya sehingga kini didakwa muncul pula di puncak bukit Batca Doamnei di utara Romania beberapa hari selepas objek sama ditemui di kawasan gurun Utah di Amerika Syarikat.

Imej tiang segi tiga berkilat setinggi kira-kira empat meter itu pertama kali diterbitkan pada minggu lalu oleh rangkaian berita tempatan di wilayah Neamt.

Iklan
Iklan

Stesen radio The Jurnal FM kemudiannya melakukan siasatan tentang perkara tersebut.

"Kami amat terkejut dengan penemuan struktur itu yang mempunyai lingkaran yang diukur pada sisinya," menurut stesen radio tersebut menerusi laman web mereka.

Iklan

Sementara itu, wartawan Cirprian Solomon berkata, terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab, namun beliau percaya ia ada kaitan dengan objek sama yang ditemui di Utah.

"Kenapa ia muncul sekarang di Neamt?" soalnya.

Iklan

Rangkaian berita ziarpiatraneamt.ro juga menerbitkan rakaman video diambil seorang lelaki yang mendaki puncak bukit itu semata-mata untuk melihat sendiri objek berkenaan.

"Ia hanyalah besi buruk," katanya.

Difahamkan, mereka yang berhasrat untuk melihat objek misteri mungkin sudah kehilangan peluang kerana tiang tersebut dikatakan sudah hilang.

"Monolit itu hilang secara misteri semalam sama seperti kemunculannya," kata The Jurnal FM.

Berita penemuan obelisk itu turut menjadi tular di internet dan ramai yang menyatakan objek itu mempunyai persamaan dengan monolit makhluk asing dalam filem sains fiksyen berjudul 2001: A Space Odyssey. - AFP