LTAS sasar peningkatan operasi optimum pada 2019

Iklan
LTAS menetapkan sasaran untuk mengendalikan 3.76 juta penumpang tahun ini.

JOHOR BAHRU - Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) meletakkan sasaran dan peningkatan operasi lebih optimum pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Md Derick Basir berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan LTAS telah menjalani sepanjang tahun yang sibuk pada 2018.

Iklan
Iklan

"Bagi 2019 LTAS menetapkan sasaran untuk mengendalikan 3.76 juta penumpang. Ini bakal menjadi tahun yang sibuk dan memberangsangkan di mana kami juga memperkembangkan portfolio untuk menguruskan operasi Lapangan Terbang Kertih di Terengganu.

"Ketika ini, LTAS bukan hanya sebuah 'lapangan terbang' tetapi menjadi tempat warga kerja serta komuniti sekitar mengadakan janji temu dan perbincangan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Iklan

Berhubung pencapaian tahun lalu, Md Derick memaklumkan LTAS mencatatkan peningkatan sebanyak 13 peratus jumlah penumpang berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, rekod terbaharu itu menyaksikan sebanyak 3.52 juta penumpang melibatkan penerbangan domestik dan antarabangsa.

Iklan

"Perkembangan itu disumbangkan penumpang domestik dengan peningkatan sebanyak sembilan peratus atau 234,650 penumpang daripada 2.68 juta pada 2017 kepada 2.91 juta pada 2018.

"Trafik penumpang antarabangsa pula meningkat 37 peratus atau 163,127 daripada 0.44 juta pada 2017 kepada 0.60 juta pada 2018," katanya.

Beliau berkata, pengenalan beberapa laluan baharu oleh syarikat penerbangan komersial di LTAS juga dilihat mampu memberikan impak yang tinggi berkenaan trafik udara lapangan terbang tersebut.

"Pertumbuhan jumlah penumpang didorong kegiatan aktiviti ekonomi yang aktif di rantau selatan tanah air, ia sekali gus meningkatkan permintaan perniagaan dan perjalanan korporat selain sektor pelancongan.

"Secara khususnya, peningkatan jumlah lalu lintas penumpang pada 2018 disumbang oleh pengenalan laluan baru termasuk Seoul oleh Jin Air, Sanya dan Haikou oleh Malindo Air, serta Alor Setar dan Ipoh oleh AirAsia," katanya.