IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) semalam melancarkan produk terbaharu iaitu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) yang bersifat mesra Muslim.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, kad prabayar tersebut berfungsi seperti kad debit bank membolehkan pelanggan berbelanja di semua premis yang mempunyai terminal kad VISA di dalam dan luar negara atau membuat pengeluaran tunai di terminal mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Beliau berkata, pengguna kad prabayar berkenaan tidak memerlukan pengguna mempunyai akaun bank sebaliknya hanya menggunakan perkhidmatan kewangan digital yang berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu e-Dompet GoPayz.
"Ciri keselamatan kad prabayar ini adalah mengikut peraturan yang digariskan oleh BNM di mana pemegang kad juga boleh menyekat serta-merta penggunaan kad melalui aplikasi GoPayz sekiranya kehilangan kad atau terdapat sebarang transaksi meragukan.
"Kad ini juga produk mesra Muslim iaitu menyekat transaksi yang tidak menepati syariah seperti transaksi melibatkan perjudian, arak dan lain-lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Majlis pelancaran rasmi produk tersebut dilaksanakan melalui laman Facebook MAIPk iaitu Zakat Perak-MAIPk dan Waqaf Perak Ar-Ridzuan sesuai dengan amalan kebiasaan baharu.
Sementara itu, Shahrul Azam berkata, lebih menarik ialah setiap perbelanjaan di premis terpilih membolehkan pelanggan mengumpul mata ganjaran yang akan ditukarkan kepada hasil wakaf tunai.
"Seterusnya MAIPk akan membangunkan projek wakaf yang bersesuaian untuk kembali dimanfaatkan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Katanya, aplikasi GoPayz juga dilengkapi kalkulator zakat bagi taksiran zakat sebelum membuat bayaran serta kemudahan potongan bayaran zakat secara ansuran bulanan selain membuat semakan penyata transaksi.
Jelasnya, kad prabayar itu juga memudahkan pengguna membuat pelbagai bayaran bukan sahaja perkhidmatan MAIPk bagi bayaran zakat, wakaf tunai dan derma, malah perbelanjaan bulanan seperti bil utiliti serta membeli belah melalui aplikasi berkenaan.
Menurutnya, pengguna boleh memohon Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk ini secara percuma bermula sekarang sehingga 31 Disember depan di semua cawangan MAIPk, bagaimanapun terhad kepada 2,500 unit terawal.