PENJAGA gol muda Liverpool, Caoimhin Kelleher menegaskan pemain-pemain muda perlu diberikan peluang untuk beraksi dalam lebih banyak perlawanan terutamanya dalam perlawanan-perlawanan ‘besar’ selepas ini.
Menurut Kelleher, kehadiran pemain-pemain muda ini bukan hanya untuk ‘mengambil bahagian’ tetapi bertujuan untuk membantu kejayaan pasukan selain menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan pemain-pemain utama.
"Kami tidak berada di sini hanya untuk mengambil bahagian tetapi juga mahu diberikan peluang beraksi dalam sebanyak perlawanan yang boleh selepas ini.
"Saya sendiri telah bekerja keras dalam latihan setiap hari untuk memastikan saya sentiasa bersedia dan mampu menyelamatkan banyak percubaan lawan apabila diturunkan,” katanya.
Untuk rekod, Kelleher diturunkan bagi menggalas tugas penjaga gol utama, Alisson Becker yang mengalami kecederaan.
Terdahulu, debut sulung Kelleher pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Ajax Amsterdam di Anfield awal pagi semalam nyata tidak menghampakan apabila dia dilihat beraksi cemerlang bagi membantu kejayaan pasukan menewaskan Ajax Amsterdam, 1-0 menerusi jaringan seorang lagi pemain muda The Reds, Curtis Jones pada minit ke-58.
Kelleher itu turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul selaku penjaga gol kedua Liverpool yang mencatatkan rekod tanpa bolos dalam saingan Liga Juara-Juara selepas Chris Kirkland melakukannya ketika berdepan kelab Turki, Galatasaray pada 2002 lalu.
Sementara itu Kelleher berkata, dia berbangga kerana berjaya membantu kemenangan The Reds itu yang sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati bagi saingan Liga Juara-Juara kali ini selaku juara Kumpulan D dengan 12 mata.
"Ia satu malam yang luar biasa buat saya kerana pada debut saingan Liga Juara-Juara saya membantu kemenangan dan kemaraan pasukan.
"Itulah tanggungjawab saya dan ia menjadi lebih mudah dengan sokongan rakan-rakan sepasukan di hadapan saya,” katanya.