Dua maut nahas dua kenderaan

Iklan
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa.

JASIN - Dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 3 Jalan Rim - Nyalas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Chin Boon Peng, 70, memandu kereta jenis Proton Saga dan G Kumaresan, 24, yang memandu Hyundai Getz, maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Seorang lagi mangsa, yang juga penumpang di dalam Hyundai Getz, Ho Chiew Chye, 55, mengalami kecederaan pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Boon Peng hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sehingga melanggar kereta yang dipandu Kumaresan.

Iklan

"Ketika kejadian, kereta Proton Saga sedang dalam perjalanan dari Nyalas menghala ke Jasin dan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan kereta Hyundai Getz yang datang dari arah Jasin.

"Dalam kemalangan ini, kedua-dua pemandu kereta tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan manakala penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.