KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan mahu kerajaan Persekutuan melakukan kajian terperinci ke atas status penggunaan vaksin Covid-19 supaya ia menepati syarak dalam Islam serta tidak dipolemikkan oleh mana-mana pihak.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah tersebut amat perlu kerana ia akan memberi keyakinan kepada orang Islam untuk menerima kaedah tersebut sebagai salah satu usaha untuk berubat.
"Ada segelintir masyarakat yang tolak terus vaksin ini tetapi bagi saya ini tidak tepat daripada segi agama sebab vaksin juga antara usaha untuk kita mencegah sesuatu penyakit. Jadi, kalau ia halal dan tidak bercanggah dengan syarak, apa salahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM
Golongan antivaksin tolak vaksin Covid-19
Vaksin Covid-19: Hukum syarak boleh diharuskan jika darurat
Pembangunan vaksin tempatan perlu disegerakan: PPIM
"Namun, kita minta supaya kerajaan Persekutuan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau majlis fatwa supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita ketika hadir Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menerusi peruntukan berjumlah lebih RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 yang dianggarkan diperoleh pada suku pertama tahun depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malaysia dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin tersebut dari China, namun, ia menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat Islam yang meragui status halal mengenai penggunaan vaksin tersebut.
Sementara itu, mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, Mohd Amar berkata, amat penting untuk rakyat negeri berkenaan terus menjaga disiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, jika semua pihak mengamalkan kehidupan sihat dan mematuhi SOP sebagaimana yang perlu, maka tidak mustahil PKPB ini akan ditamatkan.
"Kalau semua patuh SOP maknanya mungkin PKPB tidak disambung tetapi ia bergantung kepada perkembangan dalam sehari dua ini.
"Ini sebabnya kita minta rakyat mendisiplinkan diri supaya angka jangkitan ini tidak meningkat dan sekiranya meningkat maka kerajaan tiada pilihan selain melanjutkan PKPB," kata beliau lagi.