TAPAH - Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori di KM 43 Jalan Ipoh-Teluk Intan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa, Hosen Alamgir, 32, yang menunggang motosikal jenis Demak DVS meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki arah bertentangan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan, manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di tempat kejadian lori tersebut telah dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah bertentangan di bahagian hadapan.
"Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.