PASIR MAS - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa menahan seorang lelaki kerana memiliki peluru dan kelonsong peluru kelmarin.
Lelaki berusia 20-an itu ditahan pada jam 9.15 malam oleh anggota PGA yang melakukan rondaan di Kampung Slow Machang di sini.
Iklan
Iklan
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, hasil pemeriksaan anggota PGA menemui sebutir peluru dan kelonsong peluru serta satu tiub straw mengandungi dadah dalam beg duit suspek.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjadikan sebutir peluru dan kelongsong peluru sebagai koleksi peribadi.
"Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, suspek turut disiasat bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah 1952,” katanya.