Mokhtar Hussain CEO baharu Bernama

Iklan
Datuk Mokhtar Hussain

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain dinaikkan pangkat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Bernama, Senator Ras Adiba Radzi mengumumkan pelantikan Mokhtar sebagai CEO selepas mesyuarat Lembaga Pengelola agensi berita tersebut hari ini.

Iklan
Iklan

Mokhtar, 59, memangku jawatan CEO sejak 17 Mei tahun ini berikutan peletakan jawatan Nurini Kassim sehari sebelumnya.

Beliau merupakan ketua pengarang sejak 23 Ogos tahun lepas dan timbalan ketua pengarang (Perkhidmatan Berita Am) selama enam tahun sebelum itu.

Iklan

Ras Adiba yakin Mokhtar yang berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, mampu menerajui pengurusan agensi berita tunggal negara itu ke arah transformasi yang lebih besar dan unggul, bukan sahaja di rantau ASEAN malah juga di mata dunia.

"Kita bersyukur kerana Mokhtar seorang yang berpengalaman luas selama 35 tahun.

Iklan

"Ini adalah pencapaian dan penghormatan bagi warga Bernama. Kita mesti tampil ke depan dan menunjukkan kepada semua orang bahawa kita adalah satu, kita mempunyai pengalaman, kita mempunyai modal insan dan kita boleh melakukannya. Ini juga pencetus semangat untuk mereka yang lain menempa kejayaan serta memegang jawatan tertinggi," katanya.

Pengerusi Bernama itu berkata, antara cabaran dalam memajukan organisasi ini ialah menarik perhatian generasi muda untuk lebih mendekati semua platform Bernama selain mempelbagaikan kandungan di media sosial bagi menyebarkan maklumat kepada segenap lapisan masyarakat.

Mokhtar memulakan karier di Bernama pada 1985 sebagai eksekutif berita dan memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Biro Sabah serta Pengurus Berita dan Hal Ehwal Semasa Perkhidmatan Audio Visual.

Beliau memegang Ijazah Sarjana dalam Undang-undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Undang-undang dari Universiti Malaya serta Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Komunikasi Massa dari UKM.

Sementara itu, Mokhtar menzahirkan penghargaan di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan Lembaga Pengelola serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menunaikan tanggungjawab yang diberi.

"Saya berasa syukur atas kepercayaan menggalas tanggungjawab besar untuk memimpin Bernama. Ini satu pengiktirafan kepada warga Bernama. Saya akan bekerja rapat dengan pengerusi baharu serta warga kerja bagi membawa agensi media nasional ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya. - Bernama