ANKARA - Dasar luar Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sering dilihat sebagai terlampau tegas sehingga dianggap menghina sekutu-sekutu Barat dan menakutkan para pelabur asing di negara tersebut.
Para pengkritik pernah menuduh Erdogan menggunakan semangat nasionalis dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan pengundi selepas partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) kalah dalam pilihan raya kerajaan tempatan kepada parti pembangkang di Ankara dan Istanbul pada tahun lalu.
Salah satu sebab kenapa Turki berbalah dengan Kesatuan Eropah adalah kerana penyelidikan Ankara untuk mencari gas asli di kawasan perairan yang menjadi pertikaian maritim bersama Greece.
Pada bulan lalu, blok itu memberi amaran bahawa Turki mungkin berdepan dengan sekatan ekonomi jika ia meneruskan usaha penerokaan gas asli.
Sehubungan itu, Greece dan Mesir berharap bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengambil langkah yang lebih aktif untuk menyelesaikan krisis di perairan Mediterranean itu.
Dalam isu tersebut, Perancis menganggap penerokaan gas asli itu yang dilakukan oleh sebuah kapal Turki yang diiringi dengan kapal perang Ankara telah mencabul perairan Greece dan Cyprus serta Zon Ekonomi Eksklusif.
Greece yang juga anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sama seperti Turki mendakwa kapal tersebut melakukan penyelidikan bagi mencari sumber gas asli di kawasan miliknya.
"Terdapat risiko tinggi bahawa hubungan AS dengan Turki akan mencapai paras terendah pada tahun 2021," kata seorang penganalisis risiko daripada firma Verisk Maplecroft iaitu Anthony Skinner kepada AFP.
Sebelum ini, Erdogan dikatakan mempunyai hubungan yang erat dengan Presiden AS, Donald Trump yang bakal mengakhiri penggal pentadbirannya pada Januari tahun depan.
Penyelidik bersekutu dengan Pusat Kajian Turki di Berlin, Sinem Adar berkata, dasar luar Erdogan semakin tegas selepas beliau terselamat dalam cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016.
Menurutnya, Presiden Turki itu sudah mula hilang kepercayaan kepada Eropah dan AS untuk menyokong keselamatannya.
Adar turut merujuk kepada ucapan Erdogan pada Oktober 2016 apabila beliau mempertahankan kempennya bagi menentang pejuang-pejuang Kurdistan yang antikerajaan di Syria dan utara Iraq.
Erdogan juga terlibat dalam krisis di Nagorno-Karabakh apabila menyokong Azerbaijan yang menyaksikan Rusia menjadi pengantara dalam gencatan senjata antara Azerbaijan dengan Armenia bagi merebut wilayah tersebut.
Data Bank Dunia menunjukkan pelaburan langsung asing yang melibatkan peluang pekerjaan melalui pembinaan kilang dan membantu memperbesarkan perniagaan di Turki merosot kepada AS$8.7 bilion (RM35.47 bilion) pada tahun lalu berbanding AS$22 bilion (RM89.69 bilion) pada tahun 2007.
Felo kanan Dana German Marshall di Washington, Kadri Tastan memberitahu majoriti pelaburan itu adalah daripada negara Eropah.
Pada tahun lalu, syarikat pengeluar kenderaan Volkswagen dari Jerman bertindak menangguhkan keputusan sama ada untuk membina sebuah kilang baharu di Turki selepas negara itu dikatakan melancarkan serangan di utara Syria.
Bagaimanapun, syarikat itu sebenarnya membatalkan rancangan itu kerana pandemik koronavirus (Covid-19)
Selain itu, dasar Turki juga adalah untuk menjaga kepentingan negara tersebut di rantau Asia Barat dengan menentang negara yang terlibat konflik dengan Ankara seperti Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini adalah kerana Turki pernah menuduh Mesir mewujudkan pemerintahan secara totalitarian atau satu parti politik sahaja selepas sekumpulan pegawai diketuai bekas Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi pada tahun 2013 melancarkan rampasan kuasa dengan menyingkirkan
Presiden Mohammed Mursi yang merupakan sekutu kepada Erdogan.
Mesir pula menuduh Turki menyokong gerakan Ikhwanul Muslimin yang dilabelkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Kaherah.
Situasi Turki dengan UAE juga semakin tegang apabila Erdogan mengancam untuk menggantung hubungan diplomatik selepas negara berkenaan menormalkan hubungan dengan Israel pada Ogos lalu.
Sebelum ini, hubungan antara Ankara dengan Abu Dhabi tidak begitu akrab selepas parti AKP itu dikatakan menyokong Ikhwanul Muslimin iaitu sebuah pertubuhan politik Islam semasa revolusi Arab Spring pada tahun 2011. - Agensi