SPRM Selangor tahan pegawai imigresen, ejen

Iklan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen semalam kerana disyaki meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga China yang ditahan imigresen pada Isnin lalu atas kesalahan menggunakan cop palsu.

Menurut sumber, pegawai berusia 26 tahun itu ditahan ketika menerima rasuah di sebuah stesen minyak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.45.

Iklan
Iklan

"Kes ini tiada kaitan dengan Ops Selat. Individu itu bergerak secara bersendirian dan biasa melakukan perbuatan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, penahanan itu adalah lanjutan daripada tangkapan awal ke atas seorang ejen berusia 40 tahun di Cheras pada jam 12 tengah hari pada hari sama.

Iklan

"Hasil soal siasat, wang diterima ialah untuk seorang pegawai imigresen di KLIA," katanya.

Sumber itu memaklumkan, modus operandi mereka yang ditahan itu adalah pegawai imigresen akan memberikan ejen butiran mana-mana warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.

Iklan

"Tugas ejen ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi melepaskan diri dari tahanan imigresen.

"Keluarga berkenaan kemudian akan menghubungi rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan kepada ejen," katanya.

Menurutnya, isu rasuah di KLIA ini telah menjadi pandemik dan amat membimbangkan.

"Ini isu keselamatan negara, pegawai korup yang bertugas di pintu-pintu masuk negara memudahkan keluar masuk pendatang asing yang bermasalah ke Malaysia.

"Tidak perlu lagi ikut jalan tikus dan mengharungi lautan bergelora untuk masuk ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan tersebut.

"Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009," katanya.