LENGGONG - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) meneruskan bantuan kepada masyarakat orang asli di negeri ini yang terkesan dengan wabak Covid-19 dengan menyumbang kotak makanan di empat kampung di Lenggong.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin berkata, empat kampung tersebut ialah Sungai Karah melibatkan 18 penduduk, Takong (9), Air Bah 1 (41) dan Air Bah 2 (25).
Menurutnya, pengagihan kotak makanan tersebut dilaksanakan kelmarin melibatkan kakitangan MB Inc dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri (Jakoa) Perak dan Kedah.
"MB Inc sebagai sebuah entiti korporat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri sedaya upaya membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19 melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Sumbangan tersebut ini merupakan antara inisiatif MB Inc membantu meringankan beban 10,000 keluarga termasuk masyarakat orang asli yang terkesan akibat pandemik ini," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, MB Inc sebelum ini telah menyumbangkan beberapa kotak makanan kepada golongan sasar di seluruh Perak termasuk beberapa buah kampung orang asli.
Anuar berkata, inisiatif tersebut akan diteruskan bagi menyahut seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya GLC negeri sentiasa proaktif dalam membantu golongan sasar.
Katanya, pembelaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik itu bertujuan bagi meringankan beban mereka dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini.