Covid-19: Lebih 72 juta kanak-kanak 'miskin pembelajaran'

Iklan
Pandemik Covid-19 memburukkan lagi krisis pembelajaran global sedia ada. Foto 123RF

WASHINGTON - Penutupan sekolah disebabkan Covid-19 berisiko menyebabkan 72 juta lagi murid sekolah berdepan ancaman 'kemiskinan pembelajaran' yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun, kata Bank Dunia pada Rabu.

Pandemik memburukkan lagi krisis pembelajaran global sedia ada, menurut dua laporan terbaharu Bank Dunia yang menggariskan visi baharu pembelajaran serta pelaburan dan polisi yang diperlukan termasuk mengenai teknologi pendidikan, lapor agensi berita Xinhua.

Iklan
Iklan

Peratusan murid sekolah di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang menghadapi kemiskinan pembelajaran meningkat kepada 63 peratus berbanding 53 peratus sebelum ini menyebabkan generasi mereka ini nanti pada masa depan berisiko kehilangan sekitar AS$10 trilion pendapatan seumur hidup bersamaan hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Menurut laporan itu, penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan kebanyakan pelajar di dunia tidak bersekolah. Ia mencecah 1.6 bilion pelajar pada April 2020 dan pada masa ini masih ada kira-kira 700 juta lagi pelajar.

Iklan

Kesan negatif penguncupan ekonomi global yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap pendapatan keluarga meningkatkan risiko keciciran sekolah dan kumpulan yang terpinggir cenderung ketinggalan jauh.

Justeru, sistem pendidikan terpaksa segera menerapkan inovasi dalam pembelajaran jarak jauh.

Iklan

Bagaimanapun, jurang digital yang besar dan ketidaksamaan dalam kualiti sokongan ibu bapa serta persekitaran pembelajaran di rumah meningkatkan ketidakseimbangan pembelajaran.

"Tanpa tindakan segera, generasi pelajar ini mungkin tidak dapat mencapai kemampuan dan pendapatan penuh mereka, dan negara akan kehilangan modal insan penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

"Melalui tindakan berwawasan dan jelas, pembuat dasar dan pihak berkepentingan di seluruh dunia boleh menjadikan krisis sebagai rahmat untuk mengubah sistem pendidikan sehingga membolehkan semua kanak-kanak walau di mana jua mereka berada dapat menikmati pembelajaran yang sempurna dan menyeronokkan," kata Naib Presiden Bank Dunia untuk Pembangunan Manusia, Mamta Murthi pada Rabu. - Bernama