KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri berharap masyarakat Tionghoa Terengganu dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana masyarakat Cina negeri ini dilihat turut memberi sumbangan besar dalam pelbagai aspek khususnya aktiviti pelancongan dan pembangunan ekonomi Terengganu.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik tidak menghalang kaum itu menjalankan aktiviti harian dan mereka juga hidup aman harmoni dikelilingi masyarakat Melayu serta bangsa lain.
"Tidak hanya itu, mereka saling bekerjasama apabila diperlukan, diharapkan keharmonian yang dirasai ini terus dinikmati oleh generasi akan datang.
"Bersama kita membangunkan dan membina Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2019, hari ini.
Dr Ahmad Samsuri berkata, perayaan Tahun Baharu Cina merupakan perayaan penting bagi masyarakat Tionghoa, tanda permulaan tahun baharu bagi kalendar masyarakat Cina.
"Tahun ini merupakan tahun khinzir, masyarakat Tionghoa percaya tahun ini bakal membawa banyak keuntungan dan kekayaan kepada mereka,” katanya.