LONDON - United Kingdom (UK) menjadi negara pertama membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech kepada orang ramai setelah pemerintah negara itu pada semalam secara klinikal meluluskan suntikan itu, lapor Agensi Anadolu.
Vaksin itu yang memberikan perlindungan 95 peratus terhadap Covid-19 akan dilancarkan seawal minggu depan, menurut kenyataan pemerintah.
"Kerajaan hari ini telah menerima cadangan Badan Pengawal Selia Produk dan Ubat-ubatan Kesihatan (MHRA) supaya meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk digunakan
"Vaksin akan disediakan di seluruh UK mulai minggu depan," katanya.
Persetujuan oleh MHRA itu untuk kegunaan kecemasan kerana masih menunggu kelulusan di Amerika Syarikat dan Eropah.
"Bantuan dalam perjalanan, namun peraturan masih perlu dipatuhi.
"Kita perlu mengikuti langkah-langkah ini dan kita harus mematuhinya - ayuh patuhinya kerana bantuan kini dalam perjalanan," kata Setiausaha Kesihatan Matt Hancock kepada SkyNews.
Hancock mengatakan vaksin itu akan diedar ke hospital, pusat vaksinasi, doktor dan farmasi di seluruh negara.
Menurut hasil kajian klinikal Tahap 3, calon vaksin BNT162b2, yang dibangunkan saintis Turki-Jerman Ugur Sahin, syarikat BioNTech, mempunyai kadar keberkesanan lebih 94 peratus terhadap orang dewasa berusia 65 tahun ke atas.
BioNTech dan Pfizer merancang untuk menghasilkan lebih 50 juta dos pada akhir tahun ini dan berpotensi untuk mencecah lebih 1.3 bilion dos pada akhir 2021.
Pihak berkuasa Britain mengatakan ia telah memesan 40 juta dos vaksin. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Ujian akhir vaksin Pfizer 95 peratus berkesan