KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka pulih tahun hadapan dipacu oleh sokongan domestik meskipun kekangan yang dialami pada 2020 akan berterusan ke tahun 2021 dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan.
Ketika membentangkan tinjauan pasaran untuk 2021 di sini semalam, MIDF Research berkata, pandemik Covid-19 akan kekal menjadi ancaman terbesar kepada pemulihan ekonomi, diikuti oleh isu-isu lain seperti peningkatan dasar perlindungan, ketegangan geopolitik, ketidakstabilan politik dan harga komoditi yang tidak menentu.
"Namun begitu, kami berpendapat ekonomi Malaysia mampu berkembang sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun pada 2021, iaitu dalam lingkungan unjuran pertumbuhan antara Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan pada 6.5 peratus hingga 7.5 peratus," katanya dalam satu taklimat yang diadakan hari ini.
Ia menambah permintaan domestik dijangka dapat mendorong pemulihan ekonomi ketika kegiatan ekonomi kembali digerakkan dan sentimen bertambah baik sementara penggunaan dan pelaburan swasta diunjur melantun tahun depan.
"Berdasarkan kepada data September 2020, penjualan runcit - yang merupakan proksi kepada penggunaan telah berjaya mencatat pertumbuhan marginal 1.1 peratus tahun ke tahun selepas penguncupan selama enam bulan berturut-turut.
"Kami meramalkan penggunaan dan pelaburan swasta berkembang masing-masing tujuh peratus dan 8.3 peratus tahun ke tahun, pada 2021," katanya.
Ia menambah kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam mendorong ekonomi ke hadapan sementara perdagangan global dijangka berapa tahap yang lebih baik tahun depan.
"Pengembalian secara beransur-ansur kegiatan global ketika negara keluar daripada kejutan Covid-19 akan menghasilkan lebih banyak aliran perdagangan tahun depan.
"Prestasi ekonomi China yang kukuh menambahkan sokongan terhadap jangkaan kami kerana negara itu adalah rakan dagang terbesar kita," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan harus diperhatikan dalam semua sektor ekonomi, sementara pengembangan kemungkinan mengambil tempat bermula dari sektor perkhidmatan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia sehinggalah ke sektor pembinaan, yang memiliki penguasaan terendah daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar negara.
"Pekerjaan dijangka meningkat. Pemulihan ekonomi yang berterusan apabila perniagaan dibuka kembali dan beroperasi semula selepas Covid-19 akan menyumbang kepada peningkatan selanjutnya di pasaran guna tenaga," katanya.
Ia menambah tekanan inflasi sebahagian besar disenyapkan pada tahun 2020 disebabkan oleh permintaan lemah dan rebat kerajaan menerusi potongan bil elektrik, yang akan berlanjutan hingga akhir tahun.
"Namun, bergerak ke hadapan, rasanya rebat itu tidak akan diteruskan. Harga minyak mentah global juga dijangka meningkat sedikit tahun depan dengan purata AS$51 setong untuk Brent," katanya.
Ia menekankan kenaikan itu disebabkan peningkatan dalam kos perumahan, utiliti dan pengangkutan komponen terbesar dalam kumpulan keseluruhan indeks harga pengguna (IHP) selepas makanan dan minuman.
"Faktor-faktor ini mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap inflasi keseluruhan.
"Selain itu, harga untuk sebahagian besar barangan juga akan meningkat setelah permintaan kembali baik berikutan pemulihan ekonomi dan dimudahkan lagi dengan persekitaran kadar faedah yang rendah,” katanya. - Bernama