Peka kesal Kedah bakal teroka REE di hutan simpan

Iklan
Shariffa Sabrina

ALOR SETAR - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia kesal dengan hasrat kerajaan negeri mahu meneroka industri mineral baharu, Rare Earth Element (REE) yang dianggarkan bernilai RM62 bilion di negeri itu.

Presidennya, Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa, ini kerana kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas selain melibatkan kawasan hutan simpan bagi menjana pendapatan untuk negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia melibatkan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik seluas 20,234.3 hektar; Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim (25,292.85 hektar); Hutan Simpan Sintok di Padang Terap (10,855.69 hektar); serta tanah status pertanian merangkumi 40,468.56 hektar.

"Adakah tanah-tanah ini berstatus tanah kerajaan atau milik individu? Yang akan menyebabkan kemerosotan pengusahahasilan bahan-bahan mentah makanan sebagai 'food-security' Kedah itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Shariffa Sabrina berkata, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) berkaitan Tafsiran serta Seksyen 34, akta sama berkaitan Pengeluaran Permit Penggunaan tidak dinyatakan aktiviti perlombongan boleh dilakukan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal dan sebagai hasil hutan.

"Pelaksanaan aktiviti perlombongan dan kuari bercanggah dengan ketetapan polisi Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70, pada November 2014 di Cameron Highlands dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan

MTN telah menyarankan pihak berkuasa negeri mengambil inisiatif mengawal atau mengelak kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal. Kewajaran MTN melaksanakan ketetapan itu adalah kerana kegiatan perlombongan dan kuari secara langsung memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras pengurusan hutan negara,” katanya.

Menurutnya, gangguan biodiversiti juga antara aspek yang seringkali diketepikan, walaupun terdapat lebih kurang 20 undang-undang di Malaysia yang mempunyai impak secara langsung dan tidak langsung terhadap pemuliharaan biodiversiti.

"Sebagai contoh, perlombongan besar-besaran di Baotou dan di pendalaman Mongolia, banyak bekalan nadir bumi di dunia disempurnakan dan menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar. Akan berlaku pengaktifan radioaktif tahap rendah disebabkan oleh thorium dan uranium (juga penyebab kanser) dalam bijih unsur nadir bumi yang berpotensi berbahaya. Pengendalian bahan-bahan ini secara tidak betul boleh mengakibatkan kerosakan persekitaran yang luas,” katanya.

Shariffa Sabrina berkata, asid kuat yang digunakan semasa proses pengekstrakan REE, yang dilepaskan ke alam sekitar dan diangkut melalui pergerakan air bakal mengakibatkan pengasidan persekitaran akuatik.

"Dibimbangi akan mencemar sumber air manusia, tambahan pula kawasan cadangan itu terdapatnya Empangan Ulu Muda, Pedu dan Ahning yang merupakan sumber air kepada seluruh Kedah dan Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara,” katanya.

Menurutnya, kepekatannya akan meningkat berkali-kali daripada tahap normal ketika berhampiran kawasan perlombongan dan perindustrian.

"Setelah berada di persekitaran, REE dapat memasuki ruang tanah dan diangkut oleh banyak faktor seperti hakisan, pelapukan, pH, curahan hujan, air tanah, dan lain-lain. Kemudian bertindak seperti logam, bergantung pada keadaan tanah yang bergerak atau diserap ke zarah tanah. REE akan diserap ke dalam tumbuhan dan kemudian dimakan oleh manusia dan haiwan,” katanya lagi.

Shariffa Sabrina turut mempersoal kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pengekstrakan REE tanpa perlombongan, dan bagaimana proses pengekstrakan itu dilakukan.

"Apakah mitigasi yang akan dilakukan bagi kelestarian central forest spine, kualiti alam sekitar, hutan simpan tadahan air, habitat hidupan liar serta flora dan fauna? Apakah niat di sebalik penemuan nadir bumi itu secara mengejut, adakah untuk mengeluarkan kelulusan pembalakan berskala besar? Kita masih tidak belajar daripada apa yang berlaku di Bukit Merah, Perak dan kes bauksit di Kuantan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri wajar memperhalusi penggunaan paip untuk pengeluaran secara 'tebuk boarding' yang disifatkan tidak boleh diterima sama sekali.

"Paip saluran air adalah contoh terbaik, ia asyik bocor. Kita lemah jika tidak amalkan amalan baik dalam pemeliharaan dan penyelenggaraan. Paip bocor boleh menyebabkan kerosakan kepelbagaian yang serius selain terdedah kepada bahan radioaktif, malah kebocoran itu meresap ke tadahan air dan akuifer,” katanya.