IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menyokong undi percaya terhadap Menteri Besar Perak dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam Sidang DUN Perak yang akan bermula esok.
Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata, usul tersebut tidak pernah dibincangkan bersama dalam kalangan wakil rakyat pembangkang kerana dibawa oleh ADUN kerajaan walaupun mengetahui usul tersebut minggu lalu.
Menurut beliau yang juga ADUN Simpang Pulai, usul yang dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim itu mempunyai maksud tersirat malah boleh juga ditarik balik.
"Sehingga kini kalau tanya kepada PKR, 'natural position' untuk kami sebagai pembangkang di negeri Perak ialah untuk menolak usul itu. Kita tidak akan memberikan sokongan undi percaya kepada YAB Menteri Besar, itu adalah keputusan kami jika usul itu dibahaskan dan dimuktamadkan dalam Dewan.
"Usul itu sebenarnya boleh ditarik balik, macam-macam mungkin berlaku tapi setakat ini kami dari PKR berpegang kepada keputusan yang sama iaitu menolak usul itu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak, di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu, Naib Pengerusi PKR Perak, Mohd Anuar Zakaria; Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; ADUN Teja, Sandrea Ng dan beberapa pimpinan yang lain.
Sebelum ini, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan bahawa usul tersebut akan dimasukkan di dalam aturan mesyuarat Sidang DUN Perak kerana mematuhi peraturan Dewan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Usul undi percaya bukan luar biasa'
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik pula, Mohd Anuar berkata, pihaknya belum membincangkan perkara tersebut kerana menunggu keputusan parti di peringkat pusat.
Katanya, perbincangan setakat ini hanya melibat isu Bajet 2021 Negeri Perak yang akan dibentang dan dibahaskan bermula 4 hingga 11 Disember ini.
Dalam pada itu, beliau yang mengetuai sidang akhbar berkenaan turut mengemukakan 18 tuntutan daripada parti itu terhadap kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam butiran Bajet Perak 2021 nanti.
Katanya, tuntutan tersebut merangkumi aspek kesihatan, ekonomi, wanita dan golongan belia di Perak bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sewajarnya di dalam Bajet Negeri yang akan dibentangkan itu.
"Tuntutan ini akan dibawa oleh ADUN-ADUN PKR di negeri ini menerusi perbahasan yang akan dibuat sepanjang tempoh Sidang DUN kali ini bagi memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian dan keutamaan.
"Kita mendesak kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap tuntutan ini bagi memastikan rakyat negeri berada dalam keadaan tenang dan melegakan" katanya.
Antara tuntutan yang dibuat termasuklah pemberian pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada institusi pendidikan secara percuma dan berkala, pemberian lesen percuma kepada penjaja dan premis berdaftar, pemberian moratorium pinjaman kerajaan negeri, diskaun cukai tanah 50 peratus, baucar e-Dompet untuk suri rumah dan sebagainya.