KUALA PERLIS - Cubaan dua penyeludup membawa muatan 200 kilogram (kg) daun ketum di muara laut Kuala Perlis, dekat sini untuk diseludup ke Thailand digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi kira-kira jam 7.45 petang semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 1 Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, semasa anggotanya tiba di lokasi kejadian, dua individu telah terjun dari sampan tersebut ke dalam muara untuk meloloskan diri.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dua penyeludup itu berjaya melarikan diri sehingga gagal dikesan berikutan keadaan yang gelap di tempat tersebut.
"Penemuan sampan tersebut adalah hasil maklumat pasukan risikan PPM yang memaklumkan sampan tersebut dipercayai dalam perjalanan keluar membawa daun ketum untuk diseludup keluar ke negara Thailand," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rohizan berkata, hasil pemeriksaan rapi ke dalam sampan tersebut menemui 20 bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat lebih kurang 200 kg.
Jelasnya, semua barang rampasan termasuk sebuah sampan kayu dan sebuah enjin 18 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM27,000 diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan,"katanya.