Agong tinjau operasi SAR

Iklan
Al-Sultan Abdullah meninjau operasi SAR mangsa lemas di Kampung Tebing Tinggi hari ini.

TEMERLOH - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam mencemar duli meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) Loqman Hamka, 20, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di sini Jumaat lalu.

Seri Paduka Baginda bersama anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut meluangkan masa selama sejam dengan menaiki bot bersama pihak terlibat dalam operasi tersebut yang memasuki hari ke-7 hari ini.

Iklan
Iklan

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin, ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda tiba di pusat operasi mencari di Kampung Tebing Tinggi pada jam 2.50 petang sebelum berkenan mendengar taklimat mengenai operasi pencarian.

Iklan
Al-Sultan Abdullah meninjau operasi SAR mangsa lemas di Kampung Tebing Tinggi hari ini.

Al-Sultan Abdullah kemudian mencemar duli bertemu dengan keluarga mangsa dan memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, bapa mangsa, Hamka Abu Bakar, 62, terharu dengan keprihatinan Seri Paduka Baginda yang bertemu keluarganya yang dalam kesedihan.

Iklan

Menurutnya, pertemuan itu amat bermakna dalam waktu sukar dihadapinya ketika ini.

"Saya berterima kasih dan bersyukur kerana baginda sudi meluangkan masa bersama kami.

"Saya doakan anak saya dapat ditemukan dalam apa jua keadaan kerana berharap dapat dikebumikan di tanah perkuburan," katanya lagi.

Al-Sultan Abdullah menyampaikan kata-kata semangat kepada Hamka (kanan) dan isterinya, Rohaya Ismail, 56, berikutan kejadian yang menimpa anak bongsu pasangan itu, Loqman yang masih belum ditemui.

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, operasi yang memasuki hari ketujuh semalam akan diteruskan dua hari lagi.

Ujarnya, operasi akan ditumpukan di kawasan tumpuan seperti melakukan penyelaman di bawah sangkar ikan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Loqman keluar menaiki bot bagi melihat rawai di sangkar ikan sangkar milik keluarganya di tempat kejadian.

Bagaimanapun, bot dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hanyut oleh penduduk setempat.