Empat kluster baharu dikesan, tiga di Sabah dan satu di Selangor

Iklan
DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat lagi kluster baharu Covid-19 melibatkan tiga kluster di Sabah dan satu di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama di Sabah dikenali sebagai Kluster Jalan Kilang, melibatkan daerah Lahad Datu dengan kes awal dilaporkan positif Covid-19 bermula 15 November hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang.

Iklan
Iklan

"Sehingga hari ini, sejumlah 104 individu disaring dengan 24 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Kluster Perdana Enam juga di Lahad Datu dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 22 November hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, sejumlah 213 individu disaring dengan 25 kes dikesan positif Covid-19.

Iklan

Kluster ketiga pula dikenali sebagai Kluster Jalan Kubota melibatkan daerah Tawau dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 25 November juga hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sejumlah 72 individu telah disaring sehingga hari ini dengan 14 kes dikesan positif Covid-19.

Iklan

Berkenaan satu kluster di Selangor, Dr Noor Hisham berkata ia dikenali sebagai Kluster Monsoon, melibatkan daerah Petaling dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 29 November hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 106 individu disaring, dengan 19 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Pertambahan empat kluser baharu itu menjadikan sejumlah 373 kluster dilaporkan sehingga kini, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Bukit, Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Laut, menjadikan keseluruhan kluster ditamatkan adalah sebanyak 189.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 184 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Usaha (84 kes), Kluster Kaya (74 kes) dan Kluster Hentian (60 kes),” katanya. - Bernama