MELAKA - Kerajaan negeri bakal memperkenalkan produk pelancongan baharu bermula tahun depan bagi menarik perhatian pelancong untuk datang ke Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, usaha itu sebagai langkah kreatif dan solusi terbaik untuk menambah bilangan pelancong menerusi produk baharu seperti 'Water Taxi' yang akan menyelusuri Sungai Melaka, Dinasour Park di Zoo Melaka, Rumah Hantu di Menara Taming Sari dan Kompleks Pelancongan Klebang.
Menurutnya, sebanyak dua buah bot juga akan digunakan bagi melancarkan perjalanan produk Water Taxi yang akan diseliakan oleh Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) selain menambah baik produk sedia ada seperti Melaka River Cruise dengan perjalanan dianggarkan sejauh 5.4 kilometer.
Katanya, produk seperti ini dilihat sangat sesuai bagi penawaran pakej pelancongan untuk seisi keluarga dan pasti dapat memulihkan semula sektor pelancongan di negeri ini.
"Terdapat 17 destinasi yang boleh pelancong singgah dengan menaiki Water Taxi yang akan mula diperkenalkan tahun hadapan termasuk Melaka Sentral dan Bandar Melaka.
"Malah untuk lebih kreatif, kita turut akan perkenalkan 'Love Boat' untuk pasangan suami isteri atau kekasih dan bagi orang Islam mereka perlu menunjukkan surat nikah sebelum dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut yang ditawarkan dengan harga berpatutan," katanya.
Muhammad Jailani berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Melaka Golf Championship 2020 di Hotel Ames, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, usaha gigih Tourism Melaka serta pemain industri dalam menyediakan kepelbagaian produk-produk pelancongan bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong malah membuatkan mereka akan lebih lama berada di Melaka sekali gus memacu ekonomi negeri dan penduduk tempatan.
"Dengan keadaan ketika ini yang sukar untuk kita capai sasaran kedatangan 5.6 juta pelancong, namun dengan adanya produk menarik termasuk penganjuran kejohanan golf yang disertai peserta luar negeri, sekurang-kurangnya dapat menambah jumlah pelancong dalam tempoh dua minggu terakhir tahun ini.
"Umum tahu semua pengusaha pelancongan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kerana itu kita sentiasa berusaha untuk memastikan Melaka terus mempunyai tempat pelancongan yang unik dan mempersonakan," katanya.