Pagar dipanjat pekerja Top Glove masih dalam kawasan PKPD

Iklan
PKPD dikenakan di kawasan asrama pekerja Top Glove.

SHAH ALAM - Pagar asrama pekerja yang dipanjat pekerja Top Glove, Meru seperti dilaporkan pihak media sebelum ini masih berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jelas Polis Selangor.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pekerja berkenaan memanjat pagar itu untuk keluar membeli barangan keperluan di sebuah rumah berdekatan, yang dijadikan kedai runcit dan premis itu juga berada dalam kawasan PKPD.

Iklan
Iklan

"Kejadian itu tidak menjadi isu, kerana kedai runcit berkenaan masih lagi berada dalam kawasan PKPD,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, Majlis Perbandaran Klang juga sudah mengambil tindakan terhadap pemilik kedai runcit berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen.

Iklan

Muhammad Yazid juga menyeru orang ramai supaya tidak panik mengenai kejadian tersebut kerana keselamatan di PKPD itu masih dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis mengesahkan menerima laporan daripada syarikat Top Glove semalam berhubung penularan video yang didakwa memaparkan kekerasan pihak berkuasa ke atas pekerjanya.

Iklan

"Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

PKPD asrama pekerja Top Glove berkuat kuasa mulai 17 November lalu, dilanjutkan sehingga 14 Disember depan susulan masih ada peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Teratai. - Bernama