KUALA LUMPUR - Malaysia berkeupayaan menghasilkan hampir semua bahan makanan asas yang diperlukan pada masa kini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, berdasarkan kadar pengeluaran makanan negara, tahap sara diri bagi daging ayam dan itik, telur ayam dan itik serta ikan melebihi 90 peratus.
Menurutnya, bagi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan pula, negara telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus kecuali untuk buah mangga, kelapa, kubis, cili dan halia.
"Bagaimanapun, beberapa bahan makanan lain seperti daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana seperti kubis, bawang, epal dan oren, negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan negara tidak terputus bagi melindungi keterjaminan bekalan makanan.
Justeru, Ahmad berkata, bagi memastikan keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan secara berterusan, pihak kementerian telah mengenal pasti beberapa hala tuju baharu dalam sektor pertanian termasuk industri padi, tanaman dan ternakan serta perikanan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, hala tuju baharu itu termasuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan aplikasi teknologi moden dalam membangunkan varieti berkualiti bagi industri padi serta membangunkan komoditi sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi bagi tujuan domestik dan eksport untuk industri tanaman.
Selain itu, katanya, pengeluaran daging dan susu ditingkatkan melalui penubuhan Lembaga Ruminan Negara bagi industri ternakan dan meningkatkan pengeluaran susu melalui projek rintis tenusu di lima buah lembah tenusu.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kini pada peringkat akhir menyediakan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 ke arah pembangunan sektor agromakanan yang mampan dari tahun 2021 hingga 2030.
Menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai teguran Laporan Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 Pengurusan Aktiviti Kawalan Import Konsainan Pertanian, Ahmad berkata, kementerian itu telah melakukan beberapa penambahbaikan berdasarkan laporan tersebut.
Menurutnya, antara penambahbaikan itu adalah syarat-syarat pengimportan bagi sesuatu tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal akan ditentukan berdasarkan Pest Risk Analysis (PRA) yang bakal dinilai secara lebih terperinci bagi memastikan barangan diimport tersebut bebas daripada penyakit serta perosak tanaman.
"Turut dilakukan pendigitalan dan pemeriksaan melalui penggunaan sistem i-Maqis untuk laporan pemeriksaan konsainan di pintu masuk,” katanya.
Selain itu, Ahmad berkata, elemen penguatkuasaan di pintu masuk secara bersepadu dengan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan turut diperkukuhkan.
"Sehingga Oktober 2020, bilangan kes yang ditahan melakukan kesalahan adalah sebanyak 1,105 kes dengan nilai dagangan berjumlah RM134 juta dan sebanyak 913 kes dikompaun dengan nilai kutipan RM3 juta melibatkan kesalahan-kesalahan, antaranya tiada import permit dan tiada eksport permit,” kata beliau. - Bernama