SERDANG - Seramai 39 individu ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri Puchong di sini semalam kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan forex di China.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, seramai 23 lelaki dan 15 wanita tempatan selain seorang wanita warga China berusia antara 20 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan Operasi Nuri pada jam 9 malam itu.
"Kita merampas 39 komputer, 23 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM30,800," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Razali berkata, semakan mendapati syarikat berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat 'telemarketing' dan menyewa premis berkenaan pada harga RM24,000 sebulan.
"Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati suspek warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai operator yang membuat panggilan kepada pelanggan di China bagi menyertai pelaburan disyaki forex menggunakan aplikasi sosial seperti WeChat," katanya.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kesemua pekerja itu menerima gaji antara RM2,000 hingga RM6,000 mengikut jawatan serta komisen diperoleh dengan masa operasi jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.
"Sindiket berkenaan turut mengupah seorang wanita warga China berusia 37 tahun sebagai tenaga pengajar kepada pekerja berhubung kaedah memujuk pelanggan menyertai pelaburan yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung keuntungan yang diraih oleh sindiket berkenaan.
"Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana dipercayai melakukan penipuan serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek turut dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) No 8 (2020)," katanya.