MB Perak hilang sokongan majoriti

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - [DIKEMASKINI] Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Iklan
Iklan

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

Pada awal sesi pagi ini, usul undi percaya Menteri Besar Perak itu diminta untuk dibahaskan lebih awal berbanding usul lain termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri Perak.

Iklan

Perkara itu diusulkan oleh Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) atas alasan bahawa Dewan perlu membuktikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempunyai keyakinan majoriti agar keraguan terhadap pemimpin kerajaan itu dapat dipadamkan.

Mohammad Zahir berpuas hati dengan perbahasan Salbiah kerana perkara itu dijelaskan secara spesifik serta mempunyai sokongan 37 ADUN untuk membawa usul tersebut.

Iklan

Beliau kemudiannya meminta Abd Manaf membacakan usul tersebut yang turut disokong Datuk Mohd Tarmizi Idris.

Sesi DUN kemudiannya dibuka untuk perbahasan oleh wakil kerajaan dan pembangkang dengan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul tersebut.

Selepas tamat perbahasan, Mohammad Zahir mengumumkan proses pengundian belah bahagi dibuat selepas dicadangkan oleh Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dengan sokongan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).

Semua ADUN diberikan kertas undi khas untuk ditandakan sama ada menyokong, tidak menyokong atau berkecuali berserta tanda tangan.

Selepas undian dibuat, proses kiraan undi turut disaksikan wakil kerajaan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) dan wakil pembangkang, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Speaker DUN kemudian menangguhkan Persidangan DUN Perak pada hari Rabu.