Sungai Lipis di Batu Malim, Raub lepasi paras bahaya

Iklan
Perkembangan semasa paras sungai dilaporkan berada pada trend menurun. (Gambar hiasan) - Foto 123RF

KUANTAN - Sungai Lipis di Batu Malim, Raub melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat sejak semalam.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my sehingga jam 11 pagi tadi, bacaan paras sungai berkenaan pada 114.83 meter (m) berbanding paras amaran 114.80 m.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun perkembangan semasa paras sungai itu dilaporkan berada pada trend menurun.

Sementara itu, berdasarkan laporan itu juga, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong melepasi paras amaran apabila merekodkan bacaan 52.61m berbanding paras amaran 52.46 m.

Iklan

Sungai Serting di Jam Padang Gudang, Bera dan Sungai Jempol di Felda Jengka, Maran kini melepasi paras berjaga-jaga.

Ekoran hujan lebat sejak semalam, beberapa kawasan di Raub kembali dilanda banjir dengan 55 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) awal pagi tadi.

Iklan

Merujuk kepada portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS yang dibuka iaitu Balai UMNO Batu Talam yang menempatkan enam mangsa daripada empat keluarga.

Turut dibuka PPS di Masjid Kampung Kuala Semantan (19 mangsa, enam keluarga), Balai Raya Kampung Ulu Sungai (20 mangsa, enam keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Tersang (10 mangsa, tiga keluarga).