TEMERLOH - 'Naluri seorang ibu kuat merasakan anak saya masih berada di kawasan berhampiran.'
Rohaya Ismail, 56, memberitahu, dia merasakan anaknya, Loqman Hamka, 20, tidak jauh dari kawasan kejadian selepas anak bongsu dari empat beradik itu dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, di sini pada Jumaat lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dalam Sungai Pahang
Operasi cari Loqman diteruskan
Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya telah memasuki hari ke-8 hari ini, dia berharap operasi pencarian akan diteruskan lagi di kawasan berhampiran oleh pihak yang melakukan operasi SAR khususnya pasukan menyelam.
"Saya dan bapanya tidak henti-henti berdoa dan melakukan solat hajat setiap hari semoga jasadnya ditemukan.
"Naluri saya kuat menyatakan dia berada di sana dan tidak jauh dari tempat dia jatuh," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong tinjau operasi SAR
Semalam, SAR turut disertai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menyertai operasi tersebut.
Dalam pada itu, bapa mangsa Hamka Abu Bakar,62, berkata, meskipun reda dengan takdir Illahi, dia amat berharap jasad anaknya dapat ditemukan.
Dia yang juga bekas anggota polis berharap doa berterusan daripada keluarga dan orang ramai dikabulkan agar jasad anaknya ditemukan.
"Loqman seorang anak yang baik, rajin dan dari zaman sekolah lagi dia telah banyak membantu saya di sangkar ikan ini," katanya lagi.