[EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?

Iklan
Ahmad Faizal (tengah) bercakap sesuatu kepada Speaker Dewan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (kanan) sebelum di umum gagal memperoleh majoriti dalam usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu pada Persidangan DUN Perak hari ini.
 Foto Bernama

IPOH - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dipercayai antara 10 wakil rakyat yang menyokong usul undi percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dibawa ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Sumber dalaman UMNO mendakwa, seorang ADUN UMNO berkenaan adalah ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim yang baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak.

Iklan
Iklan

Pelantikan Aznel bagi menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan kepimpinan UMNO Perak.

Selain itu, tiga ADUN Pas iaitu ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya Pas Perak; ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahya yang juga Timbalan Speaker DUN Perak dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin juga dipercayai memberikan undi percaya kepada Ahmad Faizal atau lebih dikenali Peja.

Iklan

"Lima lagi ADUN yang menyokong Peja adalah semestinya bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO yang menyertai Bersatu iaitu Datuk Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau); Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik); Paul Yong Choo Kiang (Tronoh); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Hasnul Zulkarnanin Abdul Munaim (Titi Serong).

"Lagi seorang pula adalah bekas ADUN DAP yang kini menyertai parti Gerakan, A Sivasubramaniam.

Iklan

"Kesemua ADUN ini menyokong Peja kerana mereka sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan sebahagian besarnya diberikan kedudukan penting dalam kerajaan pimpinan Peja," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak dapat mengenal pasti identiti seorang ADUN yang difahamkan melakukan undian rosak sewaktu usul undi percaya kepimpinan Peja diadakan sebentar tadi.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

Sebentar tadi, 24 ADUN blok pembangkang mengumumkan pendirian mereka mengundi untuk tidak menyokong kepimpinan Peja selaku Menteri Besar Perak, selaras dengan pendekatan neutral mereka sebagai pihak pembangkang.

Pada awal sesi pagi ini, usul undi percaya Menteri Besar Perak itu diminta untuk dibahaskan lebih awal berbanding usul lain termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri Perak.

Perkara itu diusulkan oleh Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) atas alasan bahawa Dewan perlu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai keyakinan majoriti agar keraguan terhadap pemimpin kerajaan itu dapat dipadamkan.

Mohammad Zahir berpuas hati dengan perbahasan Salbiah kerana perkara itu dijelaskan secara spesifik serta mempunyai sokongan 37 ADUN untuk membawa usul tersebut.

Semua ADUN diberikan kertas undi khas untuk ditandakan sama ada menyokong, tidak menyokong atau berkecuali berserta tanda tangan.

Selepas undian dibuat, proses kiraan undi turut disaksikan wakil kerajaan, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu-Sungai Manik) dan wakil pembangkang, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Speaker DUN kemudian menangguhkan Persidangan DUN Perak pada hari Rabu.

Sementara itu, Timbalan Speaker DUN Perak, Khalil Yahya memberitahu Sinar Harian bahawa kertas undi khas bagi tujuan undi belah bahagi itu sebenarnya tidak dinyatakan nama ADUN yang mengundi.

"Sehubungan itu, undi yang dikemukakan 59 ADUN adalah rahsia," katanya.

SENARAI 10 ADUN DIPERCAYAI MENYOKONG PEJA:

1) Datuk Aznel Ibrahim (BN - Pengkalan Hulu)

2) Razman Zakaria (Pas - Gunung Semanggol)

3) Mohd Akmal Kamaruddin (Pas - Selama)

4) Khalil Yahya (Pas - Kubu Gajah)

5) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu - Sungai Manik)

6) Datuk Abdul Yunus Jamhari (Bersatu - Kuala Kurau)

7) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Bersatu - Titi Serong)

8) Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu - Tualang Sekah)

9) Paul Yong Choo Kiang (Sokong Perikatan Nasional - Tronoh)

10) A Sivasubramaniam (Gerakan - Buntong)