Pengarah syarikat ditahan bantu siasatan pemalsuan logo halal

Iklan
Tinjauan yang dilakukan ke atas sebuah gudang pembekal makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Senai hari ini.

KULAI - Pengarah syarikat gudang pembekal makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, di sini ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Johor hari ini.

Pegawai Kastam Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Khalik Drahman berkata, penahanan warga tempatan berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan selepas gudang sejuk beku syarikatnya diserbu pada Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, suspek ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika diperiksa.

"Tiga buah lori yang menyimpan produk daging sejuk beku yang tidak memiliki logo halal akan disita.

Iklan

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyita produk daging sejuk beku yang menggunakan tanda logo halal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bersama Exco Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi di Taman Perindustrian Senai, di sini hari ini.

Iklan

Turut serta, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Siti Nur Ahmad.

Tambah Khalik, tindakan kartel memalsukan logo halal terutama dari Australia ialah kerana logo halal dari negara itu antara yang dipercayai umat Islam.

"Logo halal Australia ini diyakini masyarakat Islam dan secara tidak langsung mereka boleh menjualnya dengan harga lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, daging yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia dalam waktu terdekat untuk ditentukan jenis dagingnya sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

Sinar Harian pada 23 November lalu mendedahkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.