Imam sebak, menangis ketika solat Jumaat

Iklan
Anuar sebak dan menangis ketika membacakan doa semasa mengimamkan solat Jumaat di Masjid As-Solihin Kampung Bendak Pak Yong, Tumpat hari ini.

TUMPAT - Suasana di Masjid As-Solihin, Mukim Bendang Pak Yong di sini hening dan hiba apabila Imam Tua, Anuar Daud membaca ayat suci al-Quran dalam nada sebak ketika mengimamkan solat Jumaat dan turut menangis semasa memimpin bacaan doa.

Suara sebak imam tersebut turut menyentuh hati jemaah masjid yang mana kebanyakan mereka turut kelihatan sebak tertunduk ketika mengaminkan bacaan doa berkenaan.

Iklan
Iklan

Anuar berkata, menghadapi pandemik Covid-19 bersekali dengan musim banjir adalah detik paling mencabar sepanjang 10 tahun menjadi imam di masjid berkenaan.

Anuar

Katanya, disebabkan itu beliau memohon di dalam doanya agar ALLAH SWT mengampuni dosa serta melindungi penduduk di sini dan negara daripada penyakit berbahaya itu.

Iklan

"Sebagai hamba ALLAH SWT kita sentiasa diuji. Apatah lagi dalam suasana Covid-19 ini. Ketika berdoa tadi sangat teringatkan ujian ALLAH SWT terhadap umatnya.

"Bagaimana penduduk di sini nak harungi hidup dalam suasana banjir dan Covid-19. Allahhuakbar. Engkau Yang Maha Berkuasa ALLAH. Sebab itulah saya sedih tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Iklan
Penduduk kampung perlu meredah air untuk ke masjid dan pulang ke rumah mereka di Kampung Bendang Pak Yong hari ini.

Beliau berkata, walaupun setiap tahun penduduk di sekitar Kampung Bendang Pak Yong terpaksa mengharung air atau berperahu untuk ke masjid, namun tahun ini yang memberi kesan besar kepadanya.

"Sesungguhnya kami berlindung dengan Mu daripada wabak Covid-19, segala penyakit, keburukan tingkah laku dan malapetaka. Ya ALLAH, hilangkanlah segala kesengsaraan kami, sembuhkanlah segala penyakit yang menimpa negara kami,” doanya.

Beliau juga memberitahu, kebiasaannya kawasan masjid akan ditenggelami air sedalam 1.5 meter dan buat masa ini keadaan paras air masih rendah namun penduduk perlu meredah air untuk sampai ke sini.

Katanya, hari ini seramai 50 jemaah menunaikan solat Jumaat dan masing-masing mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dengan kehadiran diambil kira siapa yang datang lebih awal untuk mencukupi jumlah tersebut.

Mustafar menyayuh basikal dari rumahnya meredah air untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Solihin Kampung Bendak Pak Yong, Tumpat hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Mutafar Dollah, 65, berkata, meskipun jalan menghala ke masjid sudah ditenggelami 0.3 meter air tetapi dia masih sanggup mengayuh basikal untuk ke masjid.

"Tak apa lah basah sikit jer. ALLAH SWT berikan saya kekuatan untuk kayuh basikal. Alhamdulillah saya masih boleh datang ke masjid,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Aziz Ismail, 60, berkata, hari ini sebagai mana Jumaat lalu dia menunggang motosikal untuk ke masjid yang terletak lebih kurang 300 meter dari rumahnya.

"Selagi saya diberikan kekuatan dan mampu saya akan datang. Saya juga tersentuh dengan doa yang dibacakan oleh imam tadi. Sama-sama kita doakan supaya penduduk di sini dilindungi,” katanya.