SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa untuk mempermudahkan pencarum-pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka melalui kemudahan i-Sinar akaun satu tanpa dikenakan sebarang syarat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu, KWSP juga diminta memberikan pilihan kepada para pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka secara one-off sebanyak RM10,000 maksimum.
Menurutnya, perkara tersebut amat penting kerana beliau sendiri mendengar dan membaca semua keluhan serta suara hati rakyat yang kecewa dengan syarat-syarat dikenakan pihak KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar akaun satu KWSP.
Katanya, ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan Negara 2021 tempoh hari.
"Ahli-ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) dan UMNO termasuk sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri sejak dari awal tegas serta konsisten dalam memperjuangkan isu tuntutan pengeluaran akaun satu KWSP yang dibangkitkan rakyat.
"Justeru, pada saat rakyat sedang kesempitan dalam mendepani keadaan luar biasa pandemik Covid-19 ini, amat wajar sekali untuk KWSP mempermudahkan dan menyantuni keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar
i-Sinar: Harapan rakyat dikhianati
KWSP akan pertimbang setiap permohonan i-Sinar di bawah kategori kedua
'Duit KWSP, duit rakyat'- Najib
Rabu lalu, KWSP mengumumkan berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang diperluaskan kepada 8 juta ahli yang layak.
Kriteria kelayakan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori satu terdiri daripada ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.
Menerusi kriteria ini juga mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Sementara itu, kategori dua pula untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.