PETALING JAYA - Sepasang suami isteri yang juga bekas banduan masing-masing dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri pelbagai barangan makanan di sebuah pasar raya.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizullah Hamidi, 39, dan isterinya, Azrina Noorul Abidin, 29, selepas mereka mengaku bersalah mencuri sembilan paket keju, satu bungkusan Thai Longan, satu botol Marigold Fresh yang kesemuanya bernilai keseluruhan RM133.
Iklan
Iklan
Mereka melakukan kesalahan itu di pasar raya Aeon, Sunway Pyramid, Subang Jaya, di sini pada 7.02 malam, 1 Februari lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat.
Mahkamah memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 1 Februari.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raya Nor Baizura Mohd Soubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan dua anak yang berusia lapan dan empat tahun.
Mahkamah turut dimaklumkan Hafizullah dan Azrina masing-masing pernah menjalani hukuman di penjara membabitkan kes dadah sebelum ini.- Bernama