KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah membenarkan semula kemasukan domestik individu dari luar Sabah ke negeri ini bermula esok untuk tujuan sosial.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kemasukan individu itu adalah dengan beberapa perincian prosedur operasi standard (SOP) baharu.
"Kemasukan individu ke negeri ini untuk tujuan sosial (pas lawatan sosial) bagi pemegang MyKad, MyPR, MyKAS serta pemegang pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) yang sah tempoh serta bagi suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan.
"Kemasukan bagi bukan warganegara yang tidak memiliki pas Imigresen jangka panjang wajib mendapatkan Kelulusan Khas daripada kerajaan Sabah," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise, hari ini.
Bagaimanapun menurut Masidi, semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum perjalanan.
"Mereka harus menjalani swab ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan dan hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif dibenarkan masuk ke negeri ini.
"Kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pergerakan keluar dari Sabah tidak diperlukan," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri dalam usaha mengembalikan kehidupan normal atau urusan perjalanan rakyat termasuk mereka yang berada diluar Sabah untuk bertemu semula keluarga.
"Kita mengambil kira ada ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu kerana penguatkuasaan SOP.
"Jadi sudah tiba masanya kita beri peluang rakyat untuk bertemu termasuk pada penganut Kristian yang akan menyambut perayaan Krismas pada 24 dan 25 Disember ini. Mungkin ada yang berhasrat untuk berjumpa ahli keluarga dan kita cuba permudahkan perjalanan mereka," katanya.
Mengulas berhubung lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan tamat pada Ahad ini, Masidi berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan berkaitan perkara itu.
"Kita akan dapat jawapannya dalam tempoh terdekat kerana banyak perkara dipertimbangkan antaranya keperluan membuka ruang kepada rakyat secara perlahan-lahan kembali kepada kehidupan biasa dan dalam masa sama usaha berterusan dalam menangani virus Covid-19 ini.
"Dijangka, esok Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pengumuman sama ada PKPB akan dilanjutkan atau sebaliknya.
Terdahulu, Masidi turut memaklumkan Sabah hari ini mencatat sebanyak 320 kes positif baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 29,897 kes.