GEORGETOWN - Perkara pertama yang ditanya Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditembak penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, Sarjan Norihan Tari setelah sedar daripada pembedahan membuang peluru adalah anak-anaknya.
Perkara itu didedahkan isterinya, Fardilla Adam, 35, ketika dihubungi bagi mengetahui perkembangan terkini suaminya itu yang kini dirawat di wad biasa Hospital Pulau Pinang di sini.
Fardilla berkata, suaminya juga meminta untuk menghubungi melalui panggilan telefon untuk bercakap dengan dua anak mereka, Rayyan Jesly, 8 dan Notesa, 7.
Menurutnya, selain panggilan telefon, dia juga membuat panggilan video bagi membolehkan dua anak mereka melihat sendiri keadaan Norihan.
"Anak-anak gembira melihat ayah mereka menerusi panggilan video selepas dia sedar daripada pembedahan membuang peluru. Saya bersyukur doa kami agar suami sedar dimakbulkan.
"Perkara pertama selepas dia sedar adalah bertanyakan anak-anak kerana amat merindui mereka," katanya.
Fardilla berkata, Norihan juga sempat berseloroh selepas melihatnya menangis sejurus dia sedar daripada pembedahan yang dijalankan pada Khamis lalu.
"Sebaik sedar, suami nampak saya menangis, dia terus tanya mana anak-anak dan dalam masa sempat bergurau. Dia kata, dia belum mati, jangan lah menangis. Tetapi dia minta nak tengok anak-anak tapi saya beritahu dia, anak-anak ada di kampung.
"Tak boleh ikut ke sini (HPP) kerana kes Covid-19 sekarang ini. Saya terus buat panggilan video kepada ibu di kampung (Negeri Sembilan) bagi membolehkan suami bercakap dan melihat anak-anak," katanya.
Dia berkata, Norihan kini sudah boleh berjalan, makan dan minum, namun perlu menjalani beberapa rawatan susulan termasuk fisioterapi.
"Sejak dua hari lalu suami perlu jalani kuarantin di wad. Siapa pun tidak dibenarkan berjumpa termasuk saya malah saya juga tidak dibenarkan menjaganya. Selain itu, ujian saringan Covid-19 juga negatif.
"Hari ini (semalam), saya pulang ke Bidor, Perak untuk kemas rumah kerana jika suami dibenarkan keluar wad, kami akan balik ke sini (Bidor).
"Bagaimanapun, doktor belum memaklumkan bila suami dibenarkan pulang. Semangat dia kuat, dia tak sabar nak kembali sihat dan bertugas semula," katanya.
Fardilla turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan Norihan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa menjaga keperluan dan keselamatannya serta keluarga.
Dalam kejadian awal pagi 24 November lalu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat sini maut dipercayai akibat ditembak.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama Norihan yang mengalami kecederaan parah akibat ditembak penjenayah.
Susulan daripada itu, Norihan dibawa ke HPP pada malam Rabu lalu dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru iaitu satu di tulang belakang dan dua pada perut.
Pada minggu lalu juga, Norihan menerima Watikah Wira Negara dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disampaikan oleh Juruiring Polis Kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Yahaya Othman di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Sarjan Norihan sudah sedar, stabil