KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin baik berikutan cuaca cerah dan ada penduduk yang terjejas dibenarkan pulang hari ini.
Sehingga jam 6 petang, seramai 1,858 mangsa dari 478 keluarga masih ditempatkan di 52 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di semua daerah, menurun berbanding 2,802 orang jam 8 pagi tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Marang masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 531 penduduk ditempatkan di lapan PPS.
Menurutnya, seramai 406 mangsa dari 108 keluarga di Besut berada di 13 PPS diikuti Setiu (265), Kuala Nerus (213), Dungun (170), Kuala Terengganu (138), Kemaman (116) dan 19 mangsa di Hulu Terengganu.
"Ramai penduduk terjejas pulang ke rumah dan ada beberapa PPS seperti di Kuala Terengganu dan Marang ditutup,” katanya hari ini.
Che Adam berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu melaporkan bahawa secara keseluruhan hampir semua 44 stesen hujan di negeri ini tidak merekodkan hujan bermula awal pagi tadi.
Berikutan tiada hujan katanya, semua stesen aras air sungai utama menunjukkan trend penurunan kecuali stesen Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang berada pada paras amaran dan Sungai Tebak, Kemaman pula pada paras bahaya dengan trend menaik.
"Sungai Nerus di Kampung Langkap masih pada paras bahaya manakala Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Marang berada pada paras amaran namun semuanya menunjukkan trend menurun.
"Bagi lain-lain tempat pula aras air sudah kembali paras normal. Sungai-sungai utama lain dijangka kembali normal bermula lewat malam ini hingga 6 Disember.
"Memandangkan tiada lagi hujan yang direkodkan, Jabatan Meteorologi Malaysia telah menamatkan amaran hujan lebat peringkat jingga atau merah untuk negeri Terengganu,” katanya.