SEJARAH politik Malaysia sebenarnya sudah tidak asing dengan isu Menteri Besar atau Ketua Menteri yang terpaksa meletak jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri masing-masing.
Pada tahun 1966, bekas Ketua Menteri pertama Sarawak, Stephen Kalong Ningkan mencetuskan krisis perlembagaan pertama di negara ini apabila beliau enggan mengosongkan jawatan setelah disingkirkan Yang Dipertua Negeri atau Gabenor Sarawak ketika itu.
Krisis ketua negeri hilang kepercayaan majoriti ADUN disusuli negeri Selangor pada tahun 1976 apabila Perdana Menteri, Tun Hussein Onn yang baru sahaja mengambil alih kepimpinan negara, tidak sehaluan dengan Menteri Besar ketika itu, Datuk Harun idris.
Usul tidak percaya terhadap Harun kemudiannya dibawa ke dalam sidang DUN Selangor dan bekas Ketua Pemuda UMNO Selangor itu terpaksa meletakkan jawatan selepas itu.
Kemudiannya pada tahun 1977, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir juga dipaksa meletakkan jawatan berkenaan setelah difahamkan melanggari arahan parti.
Bahkan di Perak, krisis pertukaran kerajaan sudah berlaku pada tahun 2009 apabila Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Shah memerintahkan bekas Menteri Besar kerajaan Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan serta-merta.
Terkini, episod Menteri Besar hilang sokongan majoriti ADUN kembali berulang di Perak.
Bagaimanapun, senario kali ini lebih menarik apabila penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hilang sokongan majoriti sewaktu usul undi percaya kepimpinan beliau dibentangkan pada sidang DUN negeri hari ini.
Paling mengejutkan, usul undi percaya itu dikemukakan oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) dan diluluskan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, kedua-duanya ADUN UMNO yang menjadi sebahagian rakan kongsi kuasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu.
Polemik politik terkini di Perak itu juga dijangka memberi implikasi besar kepada kedudukan kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sehingga kini, masih dipertikaikan keabsahan sokongan terhadapnya.
Hakikat itu diakui pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang melihat perkembangan terkini negeri Perak bakal mempengaruhi usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
"Soal sama ada usul itu dapat dibentangkan atau tidak, bergantung kepada masa persidangan Dewan Rakyat. Bagaimanapun, kemungkinan senario sama akan berlaku terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin masih tinggi berdasarkan kes berlaku terhadap Ahmad Faizal hari ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pandangan Nik Ahmad Kamal sememangnya berasas mengambil kira hubungan tegang berlaku antara Bersatu dan UMNO di peringkat kerajaan Pusat, terutama sebelum usul pengundian Belanjawan 2021 di peringkat dasar berlangsung sebelum ini.
Teori
Ditambah dakwaan Muhyiddin dan Bersatu cuba membuli UMNO sewaktu berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 selain pemberian jawatan Kabinet tidak penting, UMNO juga melihat Bersatu sebagai parti yang cuba merampas kerusi pilihan raya tradisional parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
ARTIKEL BERKAITAN: Tumpuan pada Sultan Nazrin tentukan masa depan kerajaan Perak
MB Perak hilang sokongan majoriti
Saya terima dengan reda: MB Perak
Pimpinan PH menghadap Sultan Perak esok
"Senario berlaku terhadap Ahmad Faizal hari ini mungkin boleh menjejaskan hubungan parti-parti dalam PN di Pusat sebab sudah ada suara 'mengapa Perak boleh, Pusat tidak boleh menentukan keabsahan (sokongan kepada Muhyiddin)?
"Saya juga tidak menolak kemungkinan polemik politik berlaku di Perak mungkin boleh merebak ke negeri-negeri lain seperti Johor dan Melaka. Yang jelas, Pas kekal menyokong kerajaan PN meskipun ada dalam kalangan mereka dipujuk menolak Peja (Ahmad Faizal),” kata Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Bagaimanapun, Zainol Fadzi yang juga ADUN Sungai Manik menolak dakwaan langkah politik terbaharu UMNO itu sebagai gerakan kerjasama dengan Bersatu untuk membawa Ahmad Faizal menggalas jawatan Kabinet di peringkat Pusat.
"Berapa bulan lagi? Berapa lama lagi (hendak PRU15)? Kalau dia hendak pergi ke Pusat, masa mula-mula lagi. Masa mula-mula memang ditawarkan, tetapi Peja buat keputusan kekal di Perak. Sampaikan tergamak ada orang cakap ini drama Bersatu dan UMNO untuk bawa dia jadi menteri,” katanya.
Sentimen sama turut dipersetujui saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat yang menyifatkan dakwaan kejatuhan Ahmad Faizal sebagai usaha membawa beliau menyertai kerajaan Pusat menjadi menteri penuh, satu teori mencuit hati.
"Kalaupun ini kompromi yang Muhyiddin restui, beliau boleh melantik Ahmad Faizal sebagai sebagai menteri penuh bagi menggantikan kehilangan jawatan Menteri Besar. Langkah ini sekaligus boleh menutup kelemahan UMNO, mengapa tidak? Cuma ini sekadar membuktikan kebenaran teori Bersatu ingin membalas budi UMNO di Sabah,” katanya.
Mengenai masa depan kerajaan Perak selepas Ahmad Faizal dijatuhkan, Chin Huat menjelaskan UMNO mempunyai empat pilihan sekiranya aspek pertukaran Menteri Besar sahaja berlaku tanpa membabitkan pembubaran DUN.
Pilihan pertama, beliau berpandangan UMNO masih boleh mengekalkan pakatan politik kerajaan lama membabitkan 34 kerusi DUN, dengan jawatan Exco akan didominasi majoriti ADUN UMNO.
"Pilihan kedua pula adalah gabungan UMNO, Pas, Gerakan dan seorang ADUN Bebas yang membabitkan 29 kerusi DUN. Bagaimanapun, kerajaan ini tidak utuh dan boleh jatuh.
"Pilihan ketiga pula adalah dengan UMNO menjadi kerajaan minoriti dengan 25 kerusi DUN, tetapi diperkuat dengan perjanjian kepercayaan dan bekalan dengan 24 ADUN PH bagi membolehkan usul Belanjawan Negeri Perak 2021 diluluskan.
"Pilihan terakhir pula adalah penubuhan kerajaan majoriti dua pertiga dianggotai UMNO dan PH. Antara empat pilihan berkenaan, saya berpandangan UMNO lebih beruntung jika membuat pilihan ketiga, diikuti pilihan pertama dan keempat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak menolak kemungkinan berlaku pembentukan kerajaan campuran membabitkan UMNO dan parti-parti dalam PH sekiranya Bersatu dan Pas enggan menyertai kerajaan baharu dipimpin UMNO.
Setakat ini, beliau menegaskan semua ADUN Amanah belum dihubungi oleh pemimpin UMNO bagi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan baharu.
"Mungkin ada pembentukan kerajaan campuran, namun segalanya terpulang kepada budi bicara Tuanku Sultan Perak untuk menentukan komposisi pembentukan kerajaan negeri yang mana lebih sustain,” katanya.
Mohammad Nizar yang juga ADUN Sungai Rapat turut menjangka polemik politik di Perak akan memberi tekanan berganda kepada Muhyiddin dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk meluluskan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri kerajaan PN itu pada sidang Parlimen, selepas usul Belanjawan 2021 berakhir.
"Selain itu, ada kemungkinan proses pengundian bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 yang dijangka diadakan pada 17 Disember hadapan bakal menyaksikan Muhyiddin hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dengan lebih ramai Ahli Parlimen UMNO menolaknya.
"Yang pasti, saya yakin isu ini akan memberi implikasi negatif sangat besar kepada kerajaan PN," katanya.