Bidang teknikal janji masa depan cerah: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Minat generasi baharu perlu dipupuk untuk menceburi bidang teknikal terutamanya kejuruteraan yang sering dikaitkan dengan istilah ‘dirty, difficult dan dangerous’ atau 3D (kotor, bahaya dan sukar) kerana kerjaya itu mempunyai pasaran kerja lebih cerah dengan memberi pulangan besar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lulusan bidang teknikal dijangka menjadi rebutan dalam pasaran pekerjaan pada masa hadapan walaupun bidang itu secara langsung atau tidak langsung memberi persepsi negatif bagi pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi muda.

Iklan
Iklan

"Trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.

"Penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D ini kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 yang disiarkan secara rakaman video menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

HPTN disambut pada Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada warga profesion teknikal di Malaysia.

Iklan

Justeru, Muhyiddin berkata, kerajaan akan berusaha memperkukuh kualiti lulusan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dalam usaha untuk memajukan profesion teknikal negara.

Di peringkat lebih awal, Perdana Menteri berkata, pelajar sekolah dan belia digalakkan untuk menjadikan bidang itu sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka, bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju.

Katanya, ia selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0 dan peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pembuat dasar dan pemimpin dalam kalangan warga profesion teknikal supaya hala tuju negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

"Di samping itu, agensi dan syarikat strategik negara berasaskan teknologi perlu diterajui dalam kalangan profesional teknikal. Ini selaras dan bertepatan dengan tema HPTN 2020 - Masa Depan Adalah Kita,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada masa ini, Malaysia mempunyai banyak syarikat berasaskan teknologi bertaraf dunia seperti Petronas, UEM Group, Pharmaniaga Berhad, Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis yang majoritinya dalam kalangan warga profesion teknikal.

Beliau berkata, ia adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak berdekad untuk memastikan wujud tenaga kerja profesional teknikal yang mahir dan berketerampilan.

"Sehingga tahun ini, Malaysia mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal dan ia membuktikan betapa profesion ini merupakan segmen yang kritikal untuk pembangunan negara," katanya.

Selain itu, katanya, bagi sektor awam, Malaysia juga boleh berbangga kerana mempunyai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksana lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sosioekonomi sejak ditubuhkan pada 1872.

"Terbaharu, kepakaran JKR terbukti apabila berjaya membantu menyiapkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam tempoh tiga hari sahaja.

"JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (BIM) dalam pelaksanaan projek yang akan memberi percambahan kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti 3D Printing, Internet of Things (IoT), Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality,” katanya. - Bernama