KUANTAN - Hasrat seorang suri rumah dari Raub untuk menikmati pendapatan hasil tugasan secara dalam talian melalui aplikasi 'Like and Share' tidak kesampaian apabila wang RM3,100 yang diperoleh gagal dipindahkan ke akaun banknya.
Mangsa berusia 28 tahun itu mendakwa pemindahan wang tersebut ditolak pihak syarikat atas alasan sistem mengalami masalah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa syak telah ditipu apabila gagal masuk ke akaun aplikasi 'Like and Share' miliknya lalu tampil membuat laporan di Balai Polis Raub semalam.
Menurutnya, mangsa menyertai peluang menjana pendapatan secara dalam talian itu pada awal November lalu selepas tertarik dengan iklan aplikasi itu melalui laman sosial Facebook.
"Melalui aplikasi tersebut, mangsa diminta untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan selain ditawarkan untuk menaiktaraf aplikasi tersebut kepada VVIP Actor.
"Mangsa berminat dengan tawaran itu lalu membuat bayaran RM3,000 yang ditetapkan untuk pakej tersebut melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa diminta untuk melengkapkan tugasan yang diberikan dan dia berjaya menyelesaikan tugasan tersebut.
"Mangsa telah membuat semakkan ke atas akuan e-Wallet aplikasi 'Like n Share' miliknya itu dan mendapati ada kemasukan wang RM700.
"Wang tersebut segera dipindahkan ke akaun banknya tanpa masalah," katanya.
Beliau berkata, pada 30 November lalu, mangsa berjaya lengkapkan tugasan seterusnya dan mendapati bayaran telah dibuat ke akaun e-Wallet miliknya berjumlah RM3,100.
"Bagaimanapun wang tersebut gagal dipindahkan ke akaun banknya menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan syak telah ditipu," katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.