IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menunjukkan tanda bagus kepada media sebaik selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini.
Beliau tiba menaiki kenderaan peribadi pada jam 11.40 pagi tadi dan keluar selepas 20 minit kemudian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu bagaimanapun tidak berkongsi lanjut butiran pertemuan berkenaan dan segera beredar.
Saarani sebelum ini disebut sebagai calon Menteri Besar Perak daripada UMNO.
Terdahulu, tiga pengerusi parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) Perak tiba di pekarangan Istana Kinta untuk menghadap sembah Sultan Nazrin berhubung kemelut politik di negeri ini.
Mereka adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.
Pertemuan itu berikutan keputusan usul undi percaya yang dibahaskan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak semalam.
Usul yang dikemukakan kepada Menteri Besar Perak itu tidak memihak kepada Ahmad Faizal apabila menyaksikan hanya 10 undi menyokong, 48 undi menolak, manakala satu undi rosak.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti
Sultan Perak terima menghadap tiga pemimpin PH
Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak