Caj penalti lewat bayar bil TNB: Ini cara kiraan yang betul

Iklan
Mesej tular di media sosial berkaitan pengiraan caj penalti lewat bayar bil TNB.

AUTA

SHAH ALAM - Tersebar di media sosial mengenai pengiraan denda lewat bayar bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebaran itu mendakwa, berdasarkan bil yang diterima pengguna, caj lewat satu peratus akan dikenakan setiap hari.

Iklan
Iklan

"Jika bil yang diterima menyatakan penggunaan elektrik sebanyak RM500 sebulan dan jika lewat membayarnya dalam tempoh ditetapkan, sehari anda akan didenda RM5.

"Bayangkan jika anda lewat bayar lima hari," katanya.

Iklan

FAKTA

Menjawab dakwaan tersebut, Facebook TNB Careline menjelaskan, formula pengiraaan caj penalti lewat bayar yang tular itu kurang tepat.

Katanya, TNB akan mengeluarkan bil untuk penggunaan elektrik sebulan dan pelanggan diberi tempoh 30 hari dari tarikh bil untuk membuat pembayaran.

Iklan

"Sekiranya pembayaran bil dibuat selepas tempoh ini, caj penalti lewat bayar (1 peratus sebulan dari jumlah keseluruhan bil) akan dikenakan.

"Pengiraannya begini, jumlah bil RM500 dan tarikh bil adalah 1 November 2018 serta pembayaran perlu dilakukan sebelum 30 November.

"Jika pengguna membuat tarikh pembayaran pada 5 Disember 2018 (lewat lima hari), kiraannya adalah RM500 (jumlah bil) didarab dengan satu peratus (caj penalti lewat bayar) dan didarab dengan lima (lewat lima hari) kemudian dibahagi 30 (hari). Jumlahnya adalah 83 sen," jelasnya.

Tambahnya, bagi mengelakkan daripada dikenakan caj penalti lewat bayar, pengguna dinasihatkan menggunakan perkhidmatan AutoPay atau direct debit.

"Selain itu, muat turun aplikasi mudah alih myTNB untuk memantau, menerima notifikasi dan membayar bil dengan mudah setiap bulan," katanya.

Info pengiraan bagi penalti lewat bayar:-

Jumlah bil - RM500

Tarikh bil - 1 November 2018

Perlu bayar sebelum - 30 November 2018

Tarikh pembayaran - 5 Disember 2018 (lewat 5 hari)

Kiraan caj penalti lewat bayar: RM500 x 1peratus x 5/30 hari = RM0.83