Tiada usul undi tidak percaya terhadap MB Johor esok

Iklan
Md Nasir Hashim

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yakin perkembangan politik di Perak tidak akan mempengaruhi hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok termasuk tidak meluluskan Belanjawan Johor 2021.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim berkata, Bersatu Johor masih setia dengan Perikatan Nasional (PN) dan menjangkakan tidak akan ada undi tidak meluluskan belanjawan negeri atau usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Iklan
Iklan

"Bersatu Johor tidak mengadakan sebarang perjumpaan atau mesyuarat termasuk mengeluarkan sebarang resolusi berkenaan perkembangan politik di Perak. Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor juga tidak akan berlaku.

"Malah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin tidak menghubungi badan perhubungan tentang perkara itu dan beliau sendiri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dijangka hadir dalam sidang DUN esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Beliau mengulas isu berkenaan Bersatu Johor yang dikatakan mengadakan mesyuarat di Muar pada hari ini bagi membincangkan cadangan meninggalkan PN Johor sebagai tindak balas terhadap apa yang berlaku dalam sidang DUN Perak.

Perkara tersebut menjadi tular dalam media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor yang telah dirancang dalam sidang DUN pada awal tahun ini, diusulkan esok.

Iklan

Semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokongnya manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, perkara yang tular itu bukannya perjumpaan Bersatu Johor membincangkan parti meninggalkan kerajaan PN Johor sebaliknya hanya menganjurkan kursus kesetiausahaan bersama-sama setiausaha bahagian Bersatu Johor.

Mengenai ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mencabar UMNO mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor esok bagi membuktikan sama ada kerajaan negeri benar-benar mendapat sokongan, beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku.

Jelasnya, ini kerana hubungan Bersatu Johor dengan UMNO dan parti gabungan lain dalam PN di negeri ini masih baik dan apa yang dikatakan Ayub yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) hanya cadangan peribadinya.

Pada masa ini DUN Johor memiliki 56 kerusi iaitu PN menguasai 29 kerusi manakala pembangkang 27 kerusi DUN.

Daripada 29 kerusi PN itu, 14 dimiliki UMNO, Bersatu (12), MIC (2) dan Pas (1) manakala PH mempunyai 14 kerusi dimiliki DAP, Amanah (14) dan dan PKR (4).