PKPB: Tiada lagi sekatan rentas daerah, negeri bermula Isnin ini

Iklan
Ismail Sabri - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu akan berkuat kuasa mulai Isnin ini.

Iklan
Iklan

Kerajaan juga katanya, bersetuju semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing, mulai Isnin ini.

"Polis juga tidak lagi akan melakukan sekatan jalan raya mulai 7 Disember, tetapi memfokuskan kepada pematuhan SOP (prosedur operasi standard)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Iklan

Katanya, justeru kerajaan amat berharap agar rakyat menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan.

Sementara itu, ketika memperincikan tangkapan ingkar SOP, Ismail Sabri berkata, polis menahan 491 individu semalam.

Iklan

Daripada jumlah itu katanya, 437 individu dikenakan kompaun manakala 54 direman.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 116 pendatang asing telah berjaya ditahan serta satu bot dan satu kenderaan darat dirampas dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

"Bagi kuarantin wajib pula, mulai 24 Julai sehingga 4 Disember lalu seramai 81,513 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa," katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 11,324 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 78 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

Menurutnya 509 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan 69,680 individu dibenarkan pulang ke rumah, katanya. - Bernama