ALOR GAJAH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata, setakat ini isu pemansuhan itu masih di peringkat akhir kajian dan keputusan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurutnya, kementerian itu juga belum membuat kajian sama ada peperiksaan yang diduduki murid Tahun Enam itu akan diganti dengan ujian baharu yang sama fungsi dengannya atau sebaliknya.
"Kita sekarang di peringkat akhir kajian mengenai pemansuhan UPSR dan keputusan muktamad akan dibuat tidak lama lagi.
"Kemungkinan besar tidak ada lagi peperiksaan UPSR yang diambil murid Tahun Enam seperti setiap tahun atau selama-lamanya," katanya.
Muslimin berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Murid UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Terdahulu, KPM pada 15 April lalu mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, pencapaian akademik murid Tahun Enam dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi penempatan di lima jenis sekolah khusus.
Pada majlis itu seramai 148 bekas murid dari 38 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) seluruh Parlimen Masjid Tanah yang mendapat keputusan cemerlang UPSR 2019 menerima sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai serta caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).