SHAH ALAM - Kerajaan berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu rakyat negara ini yang terjejas daripada sudut kesihatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam keadaan sekarang semua pihak termasuk Lembaga Zakat, Majlis Agama Islam Negeri, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu turut serta bersama dan berganding bahu membantu kerajaan mengharungi situasi tersebut.
"Kita perlu bekerjasama melihat apa yang boleh dilakukan dalam mengharungi krisis yang menyebabkan ekonomi negara merudum yang turut menjejaskan ekonomi rakyat.
"Tahun depan ekonomi diunjurkan lebih baik, bagaimanapun kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku kerana jika melihat kepada sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, restoran dan sebagainya menerima kesan besar,” katanya pada Wacana Al-Quran Siri Ke-35 bertajuk International Edition: Quranic Solution on Global Crisis.
Buat julung kalinya Wacana Al-Quran diadakan dalam bahasa Inggeris yang turut menampilkan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar selaku panel dan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Tuan Fazrul Ismail di Dewan Karangkraf, di sini semalam.
Wacana itu juga menampilkan qari My #QuranTime TV Alhijrah dan juara Akademi Quran musim ke-4 TV9, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan Surah Yunus, ayat 57 dan 58 serta Surah Isra’, ayat 81 hingga 84.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan juga berusaha melakukan yang terbaik untuk mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan kerja dan syarikat gulung tikar.
"Tahun depan kita berharap ekonomi negara kembali rancak dan dapat dipulihkan susulan pendekatan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Mac lalu di seluruh negeri sebaliknya hanya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PPD) di sesetengah kawasan yang berisiko tinggi.
"Dalam masa yang sama kita akan pastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) diikuti. Itu penting,” katanya.
Beliau berkata, ujian yang diturunkan ALLAH SWT bertujuan untuk menguji umatnya tentang rahmah atau kasih sayang sesama umat dengan cara saling membantu.
"Ini merupakan nilai Islam yang diterapkan di mana apabila ada yang memerlukan dan perlu dibantu. Sebagai contoh kita membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan memastikan mereka ada makanan di atas meja.
"Kehidupan kita ini ada masa naik dan turun. ALLAH mahu kita bersatu sebagai satu kumpulan,” katanya.