PETALING JAYA - Enam lelaki yang dipercayai merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah hotel diberkas polis di Kampung Sungai Kayu Ara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia 16 hingga 22 tahun termasuk dua remaja tidak bersekolah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu pada Rabu lalu dan mangsa juga mengenali kesemua suspek.
"Selain itu, semakan juga mendapati dua daripada suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
"Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa kini dilaporkan mengalami tekanan emosi dan sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 23 tahun yang mengugut teman wanitanya menggugurkan kandungan ditahan di Kota Damansara, di sini semalam.
"Siasatan mendapati, mangsa berusia 21 tahun telah dipaksa mengadakan hubungan seks dengan suspek sejak Jun lalu. Suspek juga mengugut mangsa untuk menyebarkan video perlakuan itu sekiranya mangsa enggan menuruti kehendak suspek.
"Mangsa kemudian disahkan hamil pada awal Disember lalu sebelum suspek mengarah mangsa untuk menggugurkannya, namun mangsa enggan menurutinya sebelum laporan polis dibuat," katanya.
Tegasnya, suspek kini direman enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Justeru, polis mengingatkan wanita atau gadis tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis hingga mengakibatkan kesan buruk pada diri mereka sendiri.