IPOH - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dilihat tiba di perkarangan Bangunan UMNO Perak sebentar tadi.
Kehadiran mereka untuk mengikuti mesyuarat bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadual pada jam 10 malam.
Antara wakil rakyat yang hadir ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan beberapa ADUN lain.
Terdahulu pada jam 9 malam tadi, mesyuarat khas UMNO Perak bersama pimpinan UMNO negeri dan semua Ketua UMNO Bahagian berlangsung bersama Ahmad Zahid.
Difahamkan, antara intipati mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.
Mesyuarat dijangka turut membincangkan calon Menteri Besar Perak yang baharu daripada UMNO.
Esok, Ahmad Zahid dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini.
Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan majoriti usul undi percaya dalam Persidangan Dewan Negeri Perak, semalam apabila hanya mendapat sokongan 10 undi, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.
Usul undi percaya terbabit dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu daripada UMNO, Datuk Abdul Manaf Hashim.
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Ahmad Zahid hadir mesyuarat khas UMNO Perak
Ahmad Faizal umum letak jawatan MB Perak
'Akui terasa hati, tapi harap PN Perak tak pecah'
Tumpuan pada Sultan Nazrin tentukan masa depan kerajaan Perak