AMPANG - [DIKEMASKINI] Seorang penceramah bebas kerugian kira-kira RM30,000 apabila rumahnya di Taman Permata di sini, dipercayai dipecah masuk penjenayah, semalam.
Penceramah yang enggan dikenali itu berkata, kejadian itu hanya disedari selepas pulang dari kampungnya di Perak sejak Jumaat lalu.
"Saya balik semula ke rumah semalam dan pintu depan rumah berkunci tapi apabila memasuki rumah saya terkejut tengok keadaan rumah berselerak dipecah masuk pencuri.
"Saya percayai pencuri masuk melalui tingkap dapur selepas meroskkan grill besi tingkap,” katanya.
Menurutnya, kesemua tiga biliknya turut digeledah oleh penjenyah dan duit tabung misi kemanusiaan Syria turut hilang.
"Penjenayah melarikan wang tunai termasuk duit tabung misi kemanusiaan Syria hasil kutipan ketika saya ceramah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada penceramah bebas yang berusia 44 tahun itu, hari ini.
"Mangsa meninggalkan kediaman dalam keadaan berkunci baik. Ketika beliau pulang semula ke kediamannya penceramah itu mendapati keadaan dalam rumah berselerak.
"Hasil pemeriksaan dapati wang tunai hilang. Setakat ini tiada lagi tangkapan dibuat, namun kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.