Ibu enam anak harap dapat kerja, bantuan

Iklan
Zainorimah mengharapkan bantuan daripada jiran dan orang ramai dalam meneruskan hidup bersama-sama enam anaknya selepas hilang pekerjaan dan ditinggalkan suami, di PPRT Masai, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG - Seorang wanita yang menyara enam anaknya kehilangan sumber pendapatan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19 dan kini hidup dengan ihsan jiran dan orang ramai.

Zainorimah Ludin, 39, dan keluarganya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Masai di sini sejak 15 tahun lalu juga diuji apabila anak bongsunya Nur Aqilah Fazli diserang sawan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga juga serba kekurangan apabila tidak mempunyai bekalan air sejak Februari lalu kerana tidak mampu membayar bil bulanan air yang tertunggak berjumlah RM1,500.

"Sejak tiada bekalan air saya dan anak-anak mengharapkan ihsan jiran untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian.

Iklan

"Saya tidak dapat bekerja ketika ini kerana tempat kerja saya di sebuah institusi pendidikan di Seri Alam di sini ditutup sementara disebabkan pandemik Covid-19," katanya kepada ketika ditemui di rumah PPRT tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Zainorimah bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh namun gusar dengan status kelayakan rumah yang didiaminya sekeluarga kerana kediaman itu milik arwah ibunya yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan sakit buah pinggang sejak tahun lalu.

Iklan

Katanya, beban utamanya kini ialah tiada sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja sebagai pembantu dewan makan institusi pendidikan itu.

"Sepanjang tempoh tidak bekerja, saya terpaksa menghabiskan wang simpanan untuk diri dan anak-anak selain mengharap bantuan orang ramai khususnya jiran setempat," katanya.

Dia yang ditinggalkan suaminya tanpa khabar berita ketika hamil dua bulan anak bongsunya itu juga reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap ada pihak yang sudi memberikannya pekerjaan.

Zainorimah yang merupakan anak yatim piatu tidak pernah memohon bantuan mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi, bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana anak-anak tidak cerewet dalam soal makan, mereka makan sahaja apa yang ada," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zainorimah menerusi talian 011-2871 6774 atau menyumbang menerusi akaun Maybank atas namanya, 151146588322.