KARYA yang sedang ditulis, harus lebih baik daripada apa yang sudah dihasilkan sebelumnya.
Juga lebih baik, berbanding dengan karya pengarang lainnya. Itulah pegangan, juga ajaran kepada para penulis, yang ingin memajukan diri dalam pengkaryaan.
Setiap pengarang itu mempunyai hasrat, untuk meletakkan teksnya, supaya mencapai suatu tahap keunggulan.
Dia akan berusaha dengan bakat, kebolehan, intelektual dan keterampilannya, bagi menghasilkan sebuah karya yang lebih bermakna.
Idealisme dan sifat keunggulan, sesungguhnya selalu berada dalam pemikiran pengarang sewaktu dia berkarya, dan sebagai azimat yang memacu penulisannya.
Untuk mencipta sebuah teks yang unggul, pengarang harus memiliki sifat-sifat berani dan bijaksana.
Berani mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baharu, serta bersedia melakukan inovasi dan perubahan.
Bijaksana pula, merupakan sifat yang mendorong pekerjaan teks itu, dilakukan dengan penuh kesedaran, dan bergerak dalam landasan keilmuan.
Akal kreatifnya pintar dan bestari serta senantiasa waspada. Tanpa sifat-sifat itu, teks akan bergerak dalam lingkungan konvensi, dan tidak akan memecah kepada teks-teks yang unggul.
Falsafahnya ialah bahawa kualiti atau mutu, adalah penentu kepada kejayaan dalam dunia kepengarangan.
Sistem nilai karya, bagi mengukur teks yang sedang ditulis, perlu dikuasai.
Begitu juga berpengetahuan dengan kaedah perbandingan, dengan mengikuti sejarah penulisan pengarang lainnya, bagi membezakan kedudukan dirinya.
Ditambah pula, dengan kreativiti dan bacaan keilmuan yang luas, serta observasi yang tajam, kekuatan pengarang dapat ditempa.
Proses kepengarangan bermula dengan idea dan pengalaman. Berkarya tidak hanya cukup dengan ilham atau lintasan yang hadir di minda. Sesuatu bahan atau idea harus diburu, dan dilakukan pemilihan dan selektif. Seandainya, sesebuah subjek itu sudah klise dan stereotaip, lupakan sahaja.
Cari dan binalah sesuatu yang luar biasa, tetapi berkaitan dengan masyarakat khalayak.
Jika masih juga mahu menggunakan subjek yang lumrah, lakukanlah deviasi atau pembeza, supaya teksnya berbeza.
Wajah khalayak juga diwacanakan, supaya karya yang hendak ditulisnya itu, selari dengan permasalahan mereka.
Sejak zaman-berzaman, sastera tidak hanya untuk hiburan, juga bersifat problematik, dibaca untuk menyelesaikan masalah khalayak.
Subjek bersembunyi dalam akar diri bangsa, persekitaran dan zamannya. Karya yang dikagumi akan menjadi kanon, dan mempengaruhinya untuk khalayak mengangkatnya sebagai karya agung.
Lemas
Ajaran dalam kalangan para penulis pascamodenis, subjek pilihan harus selari dengan biografi pengarang.
Justeru perjalanan hayatnya akan menjadi teras karya, pematang dan pengejap, semuanya akan diraut dan diukir oleh pengalaman luar biasanya.
Pilihlah subjek yang bercorak prima sosial, atau yang paling relevan dengan zamannya.
Justeru itu pengarang, ialah manusia yang peka dengan persekitarannya, dan pengikut setia kepada pergolakan yang dialami masyarakat pada semua dimensinya: agama, politik, ekonomi, budaya, sejarah, pendidikan dan sebagainya.
Tentulah lebih bermakna, subjek mengandungi pemikiran, ideologi dan falsafah, justeru di situlah letakkan kekuatan sesebuah karya.
Tanpa idealisme, teks akan luntur dan menjadi lumpur.Zaman ini, hampir-hampir tidak meraikan lagi, pengarang yang lemas dalam dirinya.
Sajak-sajak tentang aku dan keindahan alamiah, atau berbicara tetang nasib diri tanpa relasinya dengan persekitarannya, sudah tidak berupaya berdiri di kaki hayatnya.
Drama yang sibuk dengan persoalan nihil dan kecil, tidak menyentuh perasaan dan permasalahan masyarakatnya, tersisih dan cepat dilupakan.
Sebuah novel yang hanya gila kepada naratif percintaan dan perpisahan, meminggirkan tugasnya sebagai katalis perubahan masyarakat, dan tempat khalayak bergantung harapan, akan mudah tersingkir.
Subjek yang menjadi pilihan itu, harus didewasakan dan dimatangkan, sehingga memperlihatkan sebagai subjek individual dan identik kepada jati dirinya.
Contoh tepat ialah pengkaryaan Shahnon Ahmad, yang memilih kemiskinan Melayu dan menganut Malay power atas kepekaannya terhadap politik tanah air.
Hasil pengejapan daripada novel ke novel, dan mengalami pengukuhannya, terciptalah persoalan kemiskinan itu menjadi subjek individual. Akhirnya, novelis itu, dapat membina sifat individualismenya untuk menemui jati dirinya.
Begitulah juga mekanisme yang dilalui oleh A. Samad Said, yang terkenal dengan dunia wanita, Arena Wati dengan alam pelayaran, dan Abdullah Husain dengan citra perjalanan.
Tidak ada pengarang yang tidak inginkan kejayaan.
Hanya pengarang yang cukup sedar, betapa pentingnya subjek pilihan, ditata menjadi subjek individual, dimatangkan oleh ideologi dan membentuk apa yang disebut sebagai idealisme individu, yang menjadi pembeza ciri, antara seorang pengarang dengan pengarang yang lain.
Selain subjektiviti pengarang, kepengarangan juga dapat dikesan melalui empat kriteria, iaitu gaya individu, reka cipta individu, kedirian individu, dan tindakan individu.
Gaya individu ialah penemuan bahasa atau stailnya sendiri. Tidak sekadar alat, bahasa petanda aras kesasterawanan seseorang. Kekerdilan pengarang, lazimnya diakibatkan oleh kekerdilan dalam aplikasi bahasanya.
Reka cipta individu merujuk kepada pembentukan, corak, aliran dan genre karya.
Bagaikan seorang arkitek, keperibadiannya diukur melalui reka bentuk bangunannya, pengarang pun dikenal jati dirinya melalui mekanisme, metode, teknik dan strategi karyanya.
Kedirian individu, menunjukkan watak dan imejnya yang tersendiri, ikonik dan berdiri di akar diri bagi membentuk jati diri.
Secara tekstual dan kontekstual, usaha dan ikhtiarnya mencari dan membina wajahnya dengan sifat luar biasa, unik dan karismatik.
Cepat lambatnya seseorang pengarang itu, dalam membina kepengarangannya, banyak bergantung kepada bakat, kerajinan dan kesungguhannya.
Ada pengarang pada zaman mudanya, sudah memperlihatkan benih kejayaan.
Ada pengarang yang sepanjang hayatnya dengan beratus atau beribu kuantiti teksnya, tetapi belum menyentuh gunung kepengarangan.
Begitulah proses pembinaan pengarang.
Bermula dengan pilihan subjek, menjadikannya subjek individual, dan melakukan pengukuhan demi pengukuhan, membentuk individualisme atau jati dirinya.
Rahsianya adalah dengan berpegang kepada ajaran bahawa karya yang sedang ditulis, harus lebih baik daripada apa yang sudah dihasilkan sebelumnya. Juga lebih baik, berbanding dengan karya pengarang lainnya.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia